Bursa Malaysia Ditutup Pada Paras Terendah Harian

Bursa Malaysia

Bursa Malaysia Ditutup Pada Paras Terendah Harian

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) — Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah harian hari ini sejajar dengan jualan besar-besaran di kebanyakan bursa serantau dan global.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 16.45 mata atau 1.13 peratus kepada 1,433.08 daripada 1,449.53 semalam.

Indeks utama dibuka rendah 3.73 mata kepada 1,445.80, yang merupakan paras tertinggi harian dan terus merosot sepanjang sesi dagangan.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 694 berbanding 239 manakala 368 kaunter tidak berubah, 944 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.73 bilion unit bernilai RM2.11 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama ditutup rendah, menjejaki penurunan yang sama di Wall Street berikutan kebimbangan yang berterusan mengenai risiko kemelesetan global.

“Saham perbankan AS jatuh selepas gergasi perbankan kripto Silvergate merancang untuk tutup dalam menghadapi kegawatan pasaran mata wang kripto,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 3.04 peratus kepada 19,319.92, Indeks Straits Times Singapura berkurangan 1.15 peratus kepada 3,177.43, Nikkei 225 Jepun susut 1.67 peratus kepada 28,143.97 dan Kospi Korea Selatan merosot 1.01 peratus kepada 2,394.59.

Dalam negara, saham wajaran tinggi Public Bank dan Celcomdigi, masing-masing berkurangan enam sen kepada RM4.07 dan RM4.17, IOI Corp merosot sembilan sen kepada RM3.80, CIMB susut tujuh sen kepada RM5.43 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.

Dalam kalangan saham aktif, Cape EMS yang baru disenaraikan meningkat 60 sen kepada RM1.50, Hong Seng Consolidated naik setengah sen kepada 15 sen, Astro menambah dua sen kepada 69 sen manakala Velesto merosot dua sen kepada 21.5 sen dan Vinvest Capital berkurangan setengah sen kepada 22 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 122.50 mata kepada 10,450.01, Indeks FBM 70 jatuh 160.78 mata kepada 13,292.89, Indeks FBMT 100 berkurangan 117.76 mata kepada 10,131.49, Indeks FBM Emas Shariah susut 137.21 mata kepada 10,672.97 dan Indeks FBM ACE merosot 118.81 mata kepada 5,327.79.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 149.02 mata kepada 15,964.98, Indeks Tenaga susut 25.84 mata kepada 857.25, Indeks Perladangan merosot 67.16 mata kepada 6,762.77 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 2.90 mata kepada 172.93.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.82 bilion saham bernilai RM1.83 bilion daripada 1.74 bilion saham bernilai RM1.64 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran naik kepada 388.77 juta unit bernilai RM67.50 juta daripada 247.91 juta unit bernilai RM39.35 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 514.62 juta saham bernilai RM217.93 juta daripada 668.78 juta saham bernilai RM261.42 juta semalam.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 236.09 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (643.36 juta); pembinaan (37.24 juta); teknologi (234.36 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (62.19 juta); hartanah (104.95 juta); perladangan (32.26 juta); REIT (7.19 juta), dana tertutup (sifar); tenaga (198.31 juta); penjagaan kesihatan (107.20 juta); telekomunikasi dan media (81.05 juta); pengangkutan dan logistik (29.75 juta) dan utiliti (52.85 juta).

Sumber: BERNAMA

The post Bursa Malaysia Ditutup Pada Paras Terendah Harian appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*