Cenderung Serang Bayi & Kanak-kanak, Kenali Penyakit RSV Yang Ibu Bapa Kena Tahu

penyakit rsv

Cenderung Serang Bayi & Kanak-kanak, Kenali Penyakit RSV Yang Ibu Bapa Kena Tahu

Setiap ibu bapa pasti berasa cemas jika cahaya mata tiba-tiba jatuh sakit, lebih-lebih lagi apabila kita kerap mendengar pelbagai jenis penyakit dan virus muncul serta dilaporkan secara meluas.

Salah satu penyakit yang wajar diberi perhatian oleh ibu bapa ketika membesarkan anak-anak adalah penyakit Respiratory Syncytial Virus (RSV).

Di Malaysia, RSV kerap berlaku dan menjadi punca utama bayi dan kanak-kanak dimasukkan ke hospital kerana sistem imun mereka masih berkembang.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, RSV ini penyakit apa?

Untuk pengetahuan pembaca, RSV adalah sejenis virus yang cenderung menyerang bayi dan kanak-kanak dengan risiko lebih tinggi pada bayi pramatang kerana keadaan mereka yang lebih terdedah.

Dikategorikan sebagai virus pernafasan, RSV boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius seperti bronkiolitis dan radang paru-paru pada bayi.

Akibatnya, bayi akan mengalami masalah sukar untuk bernafas dan berpotensi terdedah kepada masalah kesihatan yang lain dalam jangka masa panjang.

Masalah-masalah ini jika tidak dirawat dengan betul, ia juga berisiko membawa maut kepada bayi.

Siapa yang berisiko dengan jangkitan RSV?

Umumnya, RSV cenderung menyerang dua kelompok usia seperti berikut:

  • Bayi di bawah umur enam bulan, terutamanya yang dilahirkan pramatang atau dengan keadaan kesihatan tertentu sejak lahir.
  • Kanak-kanak di bawah umur dua tahun dengan penyakit paru-paru kronik, masalah jantung, atau sistem imun yang lemah juga berada dalam kategori berisiko tinggi.

Bagaimana RSV boleh merebak?

Virus ini biasanya boleh merebak melalui titisan cecair daripada batuk atau bersin orang yang telah dijangkiti. Malah, virus tersebut juga boleh hidup di atas permukaan objek seperti mainan dan tombol pintu.

Bayi atau kanak-kanak boleh dijangkiti RSV apabila mereka menyentuh permukaan-permukaan ini, kemudian menyentuh bahagian mata, hidung atau mulut mereka.

Ibu bapa juga perlu berwaspada, bayi dan kanak-kanak sangat terdedah dengan jangkitan RSV lebih-lebih lagi jika mereka gemar berkongsi mainan.

Tanda-tanda anak dijangkiti RSV yang ibu bapa perlu waspadai

Menurut Pakar Pediatrik dan Neonatalogi, Datuk Dr. Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar, gejala awal RSV boleh menyerupai selesema biasa seperti batuk, hidung berair dan demam.

Gambar: mySihatPal

Bagaimanapun, situasi itu boleh berkembang menjadi serius dengan cepat pada bayi dan kanak-kanak kecil. Malah, mereka juga seringkali memerlukan rawatan perubatan segera.

Tambah Dr. Iqbal, RSV juga merupakan salah satu punca hospitalisasi bayi dan kanak-kanak yang untuk masalah pernafasan.

Oleh itu, sangat penting bagi ibu bapa untuk mengenali tanda-tanda awal RSV pada anak-anak. Sekiranya mereka menunjukkan simptom yang lebih serius seperti sukar bernafas, batuk teruk atau hilang selera makan, maka segeralah dibawa ke hospital untuk diperiksa oleh doktor.

Apa yang ibu bapa perlu buat untuk melindungi cahaya mata daripada RSV?

Terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk melindungi anak masing-masing.

Ibu bapa perlu menjaga kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan sendiri menggunakan air dan sabun sebelum menyentuh anak.

Anak-anak juga perlu dididik untuk menjaga kebersihan tangan mereka. Mencuci tangan tidak semestinya menjadi aktiviti yang membosankan.

Ibu bapa boleh menjadikan aktiviti ini sebagai detik yang menyeronokkan bersama anak-anak. Cipta lagu cuci tangan khusus keluarga yang menyeronokkan atau cabar mereka untuk mencuci tangan dengan gerakan tarian yang kreatif.

Selain itu, hindari daripada membawa anak-anak berinteraksi dengan orang yang sakit atau mereka yang ada tanda-tanda selesema.

Ibu bapa juga perlu mengelak daripada membawa anak-anak ke tempat yang sesak kerana ia memudahkan penyebaran virus.

Menurut Presiden Pertubuhan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa dan Bayi Pramatang Malaysia (BPM), Puan Leena, penjagaan yang tepat dan berkualiti adalah penting untuk memastikan bahawa bayi pramatang mendapat perawatan yang sesuai untuk pertumbuhan dan perkembangan mereka.

“Bayi pramatang penting dilindungi dari penyakit berjangkit seperti RSV kerana mereka mempunyai sistem imun yang belum matang dan organ-organ yang masih berkembang, yang membuatkan mereka sangat rentan terhadap komplikasi yang disebabkan oleh jangkitan,” tambah Puan Leena.

Dapatkan maklumat kesihatan yang sahih daripada MySihatPal

Paling mustahak, ibu bapa wajar selalu melengkapkan diri dengan ilmu kesihatan ketika membesarkan anak-anak dan mendapatkan info-info sahih seperti melalui portal MySihatPal.

MySihatPal menawarkan platform yang boleh dipercayai untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini tentang RSV dan penyakit lain.

Dengan akses kepada sumber seperti artikel dan panduan pencegahan, ibu bapa boleh mengembangkan pengetahuan mereka tentang cara melindungi keluarga mereka daripada RSV.

Layari https://mysihatpal.com.my/ untuk maklumat lanjut dan sumber kesihatan lain.

The post Cenderung Serang Bayi & Kanak-kanak, Kenali Penyakit RSV Yang Ibu Bapa Kena Tahu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*