Cetus Tanda Tanya, Apa Bezanya Internet Satelit Starlink Dengan Yang Lain? Ini Jawapannya

internet Starlink

Cetus Tanda Tanya, Apa Bezanya Internet Satelit Starlink Dengan Yang Lain? Ini Jawapannya

Starlink secara tiba-tiba menjadi bualan masyarakat sejak semalam, selepas syarikat itu mengumumkan perkhidmatannya kini mula ditawarkan di Malaysia.

Secara umumnya, Starlink adalah pembekal perkhidmatan internet satelit. Namun begitu, masih terdapat banyak pertanyaan mengenai Starlink kerana teknologi ini untuk di negara kita, bolehlah dianggap sebagai teknologi baharu.

Contohnya, adakah internet satelit Starlink sama dengan internet fiber sedia ada? Bagaimana Starlink berfungsi? Internet macam mana dan kawasan mana yang sesuai untuk guna Starlink?

Mengenai Starlink

Menurut Built In, Starlink merupakan rangkaian internet satelit yang bergantung terhadap ribuan satelit yang beredar di orbit rendah Bumi.

Rangkaian satelit ini memancarkan isyarat dari satelit ke satelit, termasuk dengan stesen di Bumi bagi menawarkan perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan tinggi.

Siapa yang bangunkan Starlink? Starlink sebenarnya perkhidmatan yang dibangun dan ditawarkan oleh SpaceX iaitu syarikat yang terlibat dalam industri angkasa milik Elon Musk.

Misi utama Starlink adalah untuk menyediakan perkhidmatan internet dan telekomunikasi secara global.

Bagi memastikan misi tersebut dapat dicapai, SpaceX menyasarkan untuk menghantar 42,000 buat satelit ‘kecil’ Starlink ke orbit rendah Bumi dalam tempoh beberapa dekad.

Apabila bilangan tersebut berjaya dicapai, Starlink akan membentuk satu payung rangkaian satelit global yang mengorbit Bumi pada ketinggian kira-kira 547 kilometer.

Pengkalan data kajian bebas BroadbandNow mendedahkan sebanyak 4,368 buah satelit Starlink sudah pun dilancarkan ke angkasa.

Sejak pelancaran pada 2019,  projek telekomunikasi ini telah berkembang pesat dan sudah pun mempunyai lebih satu juta pengguna, umum SpaceX dalam satu ciapannya di Twitter.

Bagaimanakah rangkaian telekomunikasi Starlink berfungsi?

Seperti mana-mana satelit perkhidmatan telekomunikasi, Starlink terlibat dalam menyampaikan data internet menerusi isyarat radio melalui ruang vakum angkasa.

Manakala stesen di daratan pula turut memancarkan isyarat terbabit ke satelit-satelit, yang kemudian menghantar semula kepada para pengguna.

Namun, apa yang menjadikan ‘Starlink’ berbeza adalah kemampuannya untuk menyedia internet dengar kadar kelajuan yang tinggi, kira-kira dalam 20 hingga 250 megabit pe saat.

Kebanyakan satelit perkhidmatan internet tradisional melantunkan isyarat daripada satelit geostasioner tunggal. Saiz-saiz satelit ini biasanya sebesar saiz bas dan mengorbit pada ketinggian 35,405 km dari permukaan bumi.

Satelit-satelit ini biasanya hanya mampu menyedia kelajuan internet dengan kadar kelajuan maksimum kira-kira 100 megabit per saat, dengan purata 31 megabit setiap saat.

Salah satu faktor yang diambil kira adalah kadar kependaman (latency), yang mana Starlink hanya memiliki kadar kependaman serendah 25 hingga 50 milisaat.

Ia agak jauh berbeza dengan pesaing-pesaingnya yang memiliki kadar kependaman pada 450 hingga 700 milisaat, seperti dilaporkan CNET.

Berbeza dengan perkhidmatan internet daripada satelit geostationer tunggal, Starlink menawarkan perkhidmatan internt menerusi rangkaian ribuan satelit. Faktornya yang beredar pada orbit rendah Bumi juga amat membantu Starlink menawarkan perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan tinggi yang berkualiti.

Namun, perbezaan paling ketara adalah internet Starlink disambungkan kepada pengguna melalui pemancar atau antena, atau juga disebut piring satelit. Manakala, internet fiber disambungkan kepada pengguna melalui gentian fiber optik.

Jadi, internet Starlink lebih mudah diakses oleh sesiapan sahaja, yang cuma perlu mengeluarkan duit membeli piring satelit ini dan melanggan perkhidmatan internet Starlink dengan bayaran bulanan.

Manakala kemudahan fiber adalah infrastruktur mahal yang hanya mampu disediakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi sahaja.

Starlink sesuai dimana?

Kini, perkhidmatan internet Starlink sudah tersedia di 60 buah negara, termasuk Malaysia seperti yang diumumkan oleh Starlink semalam.

Menurut Starlink, apabila mula ditawarkan di sesebuah negara, perkhidmatannya boleh digunakan dimana-mana sahaja. Starlink dikatakan sangat sesuai digunakan, lebih-lebih lagi dikawasan yang tidak mempunyai perkhidmatan internet fiber atau dikawasan bencana.

Misalnya ketika bencana kebakaran hutan di Washington pada 2020, pasukan bomba dan penyelamat bergantung kepada Starlink untuk berkomunikasi dengan lancar.

Selain itu, Starlink juga digunakan secara meluas di Ukraine untuk memudahkan komunikasi selepas banyak infrastruktur musnah akibat konflik.

Starlink juga sesuai digunakan di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai infrastruktur internet yang baik.

Baca: Internet Starlink Kini Ditawarkan Di Malaysia, Pakej 100mbps Berharga RM 220 Sebulan

Sumber: Built In

The post Cetus Tanda Tanya, Apa Bezanya Internet Satelit Starlink Dengan Yang Lain? Ini Jawapannya appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*