Dah Dapat Kelulusan MC, Hannah Kongsi Keadaan Terkini Padang SNBJ

Keadaan Terkini Padang SNBJ

Dah Dapat Kelulusan MC, Hannah Kongsi Keadaan Terkini Padang SNBJ

KUALA LUMPUR — Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam satu perkongsian mendedahkan keadaan terkini padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) susulan pelbagai isu dilontarkan mengenai status padang tersebut.

“Gambar SNBJ 8:40pm malam ini,” katanya.

Beliau dalam satu hantarannya di Facebook turut memaklumkan skuad Harimau Malaya dan Oman tidak dibenarkan menggunakan padang SNBJ adalah disebabkan faktor hujan sejak kebelakangan ini selepas mendapat arahan daripada Pesuruhjaya Perlawanan FIFA (MC).

Ia juga sebagai langkah dalam memastikan keadaan rumput berada pada tahap terbaik menjelang perlawanan pada malam esok.

Gambar: Hannah Yeoh

Tambahan lagi, pihak MC juga telah meluluskan padang stadium tersebut sebagai medan pertempuran antara kedua-dua pasukan.

Dalam perkongsian itu juga, beliau turut menggesa penyokong Harimau Malaya untuk membanjiri SNBJ bagi memberikan sokongan padu kepada skuad kebangsaan.

Sebelum ini, tular satu rakaman dron yang dikongsikan oleh seorang pemilik Youtube memaparkan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil masih belum mencapai tahap terbaik, lapor Sinar Harian.

Lebih-lebih lagi, beberapa bahagian permukaan padang berkenaan masih menampakkan keadaan rumput yang masih rosak, bertompok dan berpasir.

Berikutan itu, ia menimbulkan kebimbangan kerana bakal menganggu rentak permainan Harimau Malaya dan pelawat dalam perlawanan keempat Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Apatah lagi perlawanan pada malam esok menjadi misi penting untuk skuad kendalian Kim Pan-gon meraih kemenangan demi menebus kekecewaan selepas tewas kepada pasukan itu di Muscat Jumaat lalu.

Terdahulu, Malaysia tewas 0-2 kepada Oman dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada Jumaat lalu.

Kedua-dua gol masing-masing dijaringkan oleh pemain Issam Al-Sabhi pada minit ke-58 dan Muhsen Al-Ghassani pada minit ke-88.

Malaysia kini berada di tangga ketiga Kumpulan D selepas tiga perlawanan berkongsi enam mata bersama Oman dan Republik Kyrgyzstan yang hanya dibezakan menerusi perbezaan defisit gol.

Manakala Chinese Taipei pula di tangga terakhir kumpulan tanpa sebarang mata terkumpul selepas tiga perlawanan dimainkan.

Sumber: Facebook Hannah Yeoh

The post Dah Dapat Kelulusan MC, Hannah Kongsi Keadaan Terkini Padang SNBJ appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*