Dua Wartawan Disahkan Terbunuh Dalam Serangan Di Lubnan

wartawan terbunuh di lubnan

Dua Wartawan Disahkan Terbunuh Dalam Serangan Di Lubnan

BEIRUT — Seramai lapan orang dilaporkan terkorban termasuk dua wartawan dalam satu serangan yang dilancarkan oleh Israel di selatan Lubnan semalam, lapor AFP.

Menurut laporan media rasmi tempatan, dua wartawan terbabit merupakan kakitangan televisyen Al-Mayadeen yang berpangkalan di Beirut.

Al-Mayadeen memaklumkan, kedua-dua petugasnya yang terkorban dikenali sebagai Farah Omar, 25, (wartawan) dan Rabih Maamari, 40, (jurukamera).

Pengarahnya, Ghassan Jiddo berkata seorang lagi mangsa yang terbunuh adalah orang awam yang turut bekerjasama dengan syarikatnya.

“Ia adalah serangan langsung dan bukan secara kebetulan,” katanya dalam satu temu bual.

Agensi Berita Nasional (NNA) juga melaporkan kedua-dua wartawan terbabit dan seorang orang awam terbunuh di kawasan Tair Harfa.

Tambah NNA, seorang warga emas berusia 80 tahun turut terkorban dalam serangan di Kfar Kila.

Manakala, empat lagi terbunuh di antara kawasan Qlaileh dan Shaaytiyeh yang menyaksikan serangan ke atas kenderaan. Salah seorang daripada mangsa adalah dipercayai pemimpin kanan sayap tentera Hamas di Lubnan iaitu Khalil al-Kharraz.

Sementara itu, tentera Israel mendakwa pihaknya melakukan operasi untuk menentang ancaman Hizbullah di kawasan Jebbayn, berhampiran Tair Harfa.

“Kami mengetahui mengenai dakwaan berhubung wartawan yang terbunuh di kawasan tersebut akibat tembakan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF). Ini adalah kawasan permusuhan aktif di mana saling berbalas tembakan.

“Insiden itu kini sedang dalam siasatan,” maklumnya.

BACA JUGA: Kenali Manchineel, Pokok Paling Berbahaya Di Dunia Hingga Digelar “Tree Of Death”

Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati menegaskan pihaknya mengecam sekeras-kerasnya serangan tersebut yang menyasarkan wartawan.

“Serangan kali ini membuktikan bahawa jenayah Israel tidak mengenal had. Matlamat mereka (Israel) adalah untuk mendiamkan media yang mendedahkan jenayah dan serangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Matthew Miller, pula berkata pihaknya menyatakan kebimbangan dengan serangan yang mengorbankan orang awam termasuk dua wartawan di Lubnan itu.

“Kami telah menjelaskan bahawa kami tidak mahu melihat konflik di Gaza merebak ke Lubnan dan ia menjadi keutamaan kami,” katanya kepada pemberita di Washington.

Sejak perang Israel-Hamas bermula pada 7 Oktober lalu, sempadan antara Lubnan dan Israel turut menyaksikan aksi berbalas tembakan yang semakin meningkat. Ia membabitkan tentera Israel dan pasukan Hizbullah.

Sumber: AFP

The post Dua Wartawan Disahkan Terbunuh Dalam Serangan Di Lubnan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*