Duit Belanja 50 Sen Masa Sekolah, Wanita Kongsi Sebab Mak Ajar Hidup Sederhana

mak ajar hidup sederhana

Duit Belanja 50 Sen Masa Sekolah, Wanita Kongsi Sebab Mak Ajar Hidup Sederhana

Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga, sudah tentu ingin memiliki cahaya mata sendiri suatu hari nanti.

Apabila direzekikan dengan zuriat, anak yang lahir ke dunia akan ditatang bagai minyak yang penuh. Segala perhatian dan kasih sayang dicurahkan sepenuhnya kepada penyeri hidup itu.

Kalau boleh dan mampu, semua keperluan anak ingin dipenuhi sepanjang masa seiring bertambahnya usia mereka.

Apabila masuk ke bangku sekolah, ibu bapa berusaha menyediakan kelengkapan sekolah yang terbaik. Bermula daripada baju, beg sekolah, kasut semuanya hendak dibelikan yang baru-baru setiap tahun.

Pendek kata, sebut apa sahaja, ibu dan ayah sanggup lakukan segala-galanya untuk anak-anak mereka.

Namun begitu, bukan semua dikurniakan rezeki yang melimpah ruah. Ada mak ayah yang berdepan dengan kekangan kewangan dan sukar menyediakan keperluan yang terbaik untuk anak-anak.

Mak ajar hidup sederhana sejak kecil, rupanya ada sebab sendiri

Tetapi semua itu tidak menghalang mereka daripada memastikan kebajikan anak terjaga. Masing-masing ada caranya yang tersendiri dalam membesarkan anak-anak.

Begitu jugalah dengan kisah yang dikongsikan seorang wanita menerusi TikToknya, @yahcito baru-baru ini.

Menurut Yahcito, dia hadir daripada keluarga dengan latar belakang yang sederhana dan diajar untuk hidup berjimat-cermat sejak usia kecil.

Walaupun pada awalnya dia tidak memahami situasi terpaksa dilalui mereka ketika itu, namun amat berterima kasih dengan cara dia dibesarkan oleh ibu bapanya.

“Kami keluarga B40. Adik-beradik ramai, ayah penjawat awam dan ibu pula suri rumah. Sekolah rendah tiada duit belanja, cuma bawa bekal.

“Mak kata sudah cukup makan, nanti balik rumah boleh makan lepas tu pergi sekolah agama pula.

“Sedih juga sebab kawan-kawan semua ada duit belanja. Kita pula pakai baju kitar semula, baju kakak-kakak. Dapat duit raya RM200-300 semua masuk bank. Tak merasa pegang duit sendiri sehinggalah sekolah menengah,” katanya memulakan cerita.

Ketika di sekolah menengah pula, dia hanya menerima duit belanja sebanyak RM0.50 sehari. Oleh itu, dia meminta ibunya memberikan duit belanja seminggu sekaligus sebanyak RM3.50, supaya sekurang-kurangnya dapat merasa pegang duit banyak.

“Macam biasa, mak kata sarapan dah makan. Makan tengah hari nanti bila balik rumah (jalan kaki). Pernah masa Tingkatan 5 tak boleh balik kena ada stay dekat sekolah, mak sanggup jalan kaki hantar bekal makan tengah hari.

“Mak siap pek untuk lima orang kawan sekali suruh kongsi, Allah besarnya jasa mak.

“Tu pun kadang-kadang masih mengomel sebab kawan-kawan semua berada dan ada telefon bimbit. Aku seorang je tak ada telefon bimbit,” katanya lagi.

Namun, menurut Yahcito dia mula menyedari apa yang dilakukan oleh ibunya selama ini mempunyai alasan yang tersendiri.

“Rupanya mak buat bersebab, dia nak anak-anak dia senang bila masuk universiti nanti. SSPN dan Tabung Haji dah selesai.

“Masuk universiti baru merasa ada telefon bimbit sendiri. Alhamdulillah masuk UIA, rezeki elaun setiap sem RM1,000 masa asasi.

“Masuk degree, mak bagi kad bank yang segala duit raya duih hadiah ipt dalam tu. Mak kata guna bila perlu, mak cakap inilah segala duit aku dari kecil sampai besar.

“Bermula daripada itu, memang hidup jimat cermat, jaga kewangan sebab ikut cara mak nak senang masa depan,” kata wanita itu.

Yahcito kemudian berkongsi satu pesanan ibunya yang dirasakan sangat mendalam dan mempunyai makna yang sangat besar.

“Mak kata, kayalah macam mana pun kalau tak pandai menabung, tetaplah ranap. Sederhanalah hidup macam mana pun, kalau bijak urus wang, cukuplah sampai mati.”

Menurut Yahcito, itulah cara seorang ibu yang berpandangan jauh. Mereka rela hidup susah asalkan anak-anak tidak menanggung susah yang sama.

Semoga kisah itu ada manfaatnya kepada kita semua.

BACA: Arab Saudi Bakal Bina Taman Tema Dragon Ball Pertama Di Dunia

Sumber: TikTok Yahcito

The post Duit Belanja 50 Sen Masa Sekolah, Wanita Kongsi Sebab Mak Ajar Hidup Sederhana appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*