Fadhlina Sidek Mahu Cikgu Intan Zulaikha Jadi Suri Teladan Rakyat Malaysia

fadhlina cikgu intan

Fadhlina Sidek Mahu Cikgu Intan Zulaikha Jadi Suri Teladan Rakyat Malaysia

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mahu tindakan guru Intan Zulaikha Jusoh yang berlari sambil memberi motivasi kepada anak muridnya menjadi suri teladan kepada rakyat Malaysia.

Dalam satu hantaran di Facebook, Fadhlina berkata Intan Zulaikha, 35, telah memaparkan dedikasi murninya sebagai seorang guru dalam memberi sokongan tidak henti kepada pelajarnya.

“Tindakan Cikgu Intan ini seharusnya dijadikan suri teladan kepada rakyat Malaysia tentang betapa hebatnya motivasi seorang guru dalam melatih daya juang anak muridnya.

“Saya percaya anugerah ini bakal membuka jalan kepada guru-guru untuk terus berinspirasi dalam membantu anak murid, khususnya golongan kelainan upaya agar berani mencapai impian mereka pada suatu hari nanti,” katanya pada Isnin.

Cikgu Intan Zulaikha Dinobat Penerima Anugerah Khas Inspirasi APBN

Sebelum ini, Bernama melaporkan usaha murni Intan memotivasikan anak muridnya menamatkan larian 100 meter (m) dengan menggunakan tongkat disanjung apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Inspirasi pada Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) hari ini.

Tindakan menyentuh hati guru Sekolah Kebangsaan Felda Lepar Utara 1, Jerantut, Pahang itu berlari bersama muridnya Muhammad Aqil Naufal Zahiran, 11, yang kudung sebelah kaki hingga ke garisan penamat tular menerusi laman sosial baru-baru ini.

Intan Zulaikha, yang ditemani Muhammad Aqil menerima Anugerah Khas Inspirasi yang pertama kali diperkenalkan dalam APBN 2023 daripada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada majlis penganugerahan berkenaan.

Ditemui pemberita selepas APBN itu, Intan Zulaikha berkata beliau membantu Muhammad Aqil kerana muridnya itu meminati bidang sukan dan berhasrat menjadi atlet.

“Kalau ikutkan dahulu dia (Muhammad Aqil) banyak tidak ikuti sukan kerana ketidakupayaan fizikal, tetapi apabila saya tanya dia nak bersukan atau tidak, dia jawab nak.

“Sebagai guru dan anak murid berminat (untuk bersukan), saya akan cuba cungkil bakat murid supaya lebih menonjol,” katanya.

Beliau berkata Muhammad Aqil kini menjalani latihan sukan selain menyertai Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia (MAFA) atas dorongan pihak sekolah dan keluarganya.

“Saya berterima kasih atas anugerah ini, sememangnya sebelum ini saya tidak tahu tindakan saya berlari dirakam… lepas dua hari baharu tahu ditularkan, ini semua spontan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Aqil berkata dia berhasrat menjadi atlet kebangsaan dalam sukan bola sepak pada masa akan datang.

“Saya ingin wakili negara nanti,” katanya yang bangga gurunya menerima anugerah khas inspirasi berkenaan.

Muhammad Aqil yang merupakan murid Program Pendidikan Inklusif Penuh di sebuah sekolah rendah di Pahang kehilangan kaki kirinya akibat jangkitan kuman pada 2015.

Sumber: Fadhlina Sidek/Facebook, BERNAMA

The post Fadhlina Sidek Mahu Cikgu Intan Zulaikha Jadi Suri Teladan Rakyat Malaysia appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*