FIFA Singkir Indonesia Sebagai Tuan Rumah Piala Dunia B-20

fifa singkir indonesia piala dunia

FIFA Singkir Indonesia Sebagai Tuan Rumah Piala Dunia B-20

Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini mengambil keputusan untuk menyingkir Indonesia selaku tuan rumah Piala Dunia B-20. PSSI juga berpotensi dikenakan penggantungan yang akan dibincangkan selepas ini.

Keputusan itu dibuat hasil pertemuan antara Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Menurut AFP, penyingkiran itu dibuat susulan kontroversi membabitkan penyertaan Israel dalam kejohanan tersebut. Difahamkan, gabenor di beberapa wilayah Indonesia yang menjadi venue penganjuran kejohanan tersebut enggan menerima kehadiran pasukan Israel ke wilayah masing-masing.

FIFA singkir Indonesia selaku tuan rumah Piala Dunia B-20

FIFA berkata, tuan rumah baharu akan diumumkan tidak lama lagi dan jadual kejohanan tersebut akan dikekalkan. Piala Dunia B20 dijadualkan berlangsung bermula 20 Mei sehingga 11 Jun ini.

Badan bola sepak dunia itu bagaimanapun menegaskan, pihaknya sentiasa memberi sokongan dan membantu agenda pembangunan bola sepak Indonesia yang diusahakan PSSI.

Terdahulu, FIFA membatalkan proses undian kejohanan tersebut yang dijadualkan akan diadakan di Bali pada 31 Mac ini susulan kontroversi tersebut.

Indonesia dan Israel tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik, manakala sokongan dalam kalangan rakyat negara Islam terbesar di dunia itu kepada Palestin pula kekal tinggi.

Sebelum ini, beberapa siri bantahan melibatkan warga tempatan terhadap penyertaan Israel dalam kejohanan tersebut turut diadakan di Jakarta.

Hukuman menanti PSSI dan Indonesia

Menerusi laporan Liputan 6, Ketua Umum Kelab Penyokong Timnas Indonesia (PSTI), Ignatius Indro berkata terdapat beberapa hukuman yang bakal menanti PSSI selepas ini.

Selain hak tuan rumah ditarik balik, penyertaan Indonesia dalam kejohanan tersebut juga mungkin terbatal. Ini kerana hak berkenaan akan diberikan kepada tuan rumah baharu. Selain itu katanya, Indonesia juga berkemungkinan berdepan dengan masalah untuk terlibat dalam mana-mana kejohanan anjuran FIFA selepas ini.

Katanya lagi, keputusan FIFA itu boleh difahami memandangkan penyertaan Israel bukan ditentukan oleh FIFA. Sebaliknya Israel layak menyertai kejohanan tersebut secara merit selepas melalui beberapa pusingan kelayakan.

Indro juga berkata, Indonesia sepatutnya sudah menjangkakan situasi ini boleh berlaku sebelum membuat bidaan memandangkan Israel adalah ahli gabungan FIFA yang sah.

BACA: World Athletics Larang Transgender Bertanding Acara Sukan Wanita

Sumber: AFP, FIFA

The post FIFA Singkir Indonesia Sebagai Tuan Rumah Piala Dunia B-20 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*