Gantung Operasi: MYAirline Tidak Bertanggungjawab, 125,000 Penumpang Terjejas – Loke

Gantung Operasi MYAirline

Gantung Operasi: MYAirline Tidak Bertanggungjawab, 125,000 Penumpang Terjejas – Loke

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) — Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mendedahkan bahawa mereka hanya mengetahui keputusan mengenai penggantungan operasi oleh MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) lewat malam semalam.

Mengakui terkejut dengan perkara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pihaknya sendiri kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab syarikat berkenaan yang disifatkan menjejaskan nama negara kerana ia turut melibatkan penumpang antarabangsa.

“MAVCOM pun amat terkejut, mereka malah tidak maklumkan perkara itu secara rasmi kepada MAVCOM. Saya semak dengan Datuk Seri Saripuddin Kasim, beliau sebagai Pengerusi Eksekutif MAVCOM pun tidak diberi sebarang maklumat oleh MYAirline sehinggalah kita tanya mereka dan mereka sahkan bahawa penggantungan bermula 6 pagi ini,” katanya pada sidang media di lobi bangunan Parlimen hari ini.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam kenyataan pagi ini memaklumkan keputusan berkenaan diambil berikutan tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan dan permodalan semula pemegang saham syarikat penerbangan itu.

Loke berkata tindakan yang disifatkan sebagai kali pertama berlaku dalam negara ini telah menyebabkan 125,000 penumpang bakal terjejas akibat penggantungan operasi dengan nilai jualan tiket lebih RM20 juta, memandangkan MYAirline telah menjual tiket sehingga Mac depan.

BACA JUGA: Jangan Terlebih & Terkurang, Abang Ni Kongsi Tip Isi Angin Tayar Kereta Dengan Betul

Kesal dengan kejadian itu, Loke berkata MYAirline perlu meminta maaf secara terbuka kepada semua penumpang terjejas, termasuk mereka yang terkandas di lapangan terbang hari ini kerana tidak diberi pemakluman awal mengenai penggantungan operasi syarikat penerbangan itu.

Loke berkata pihaknya telah mengarahkan MAVCOM untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengendalikan isu ini selain untuk berhubung dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan semua penumpang terjejas mendapat bayaran balik pembelian tiket mereka.

“MYAirline telah memberi jaminan kepada MAVCOM bahawa mereka akan menunaikan kewajiban mereka terhadap penumpang yang terjejas dan akan membuat bayaran balik kepada pengguna apabila mereka menemui pembiaya.

“Kita difahamkan kebanyakan pengguna guna kad kredit untuk beli tiket jadi kita perlu kerjasama BNM untuk lihat apakah mekanisme refund (bayaran balik) untuk mana-mana penumpang yang menggunakan kad kredit, kerana walaupun bayaran telah dibuat tapi kerana perkhidmatan belum diperoleh, kita nak refund dibuat cepat,” katanya.

MYAirline yang baru beroperasi 10 bulan, mengendalikan lapan pesawat dan mempunyai kira-kira 900 kakitangan menyediakan perkhidmatan penerbangan dari KLIA Terminal 2 ke lapan destinasi domestik, dan satu destinasi antarabangsa.

BACA JUGA: Hadapi Tekanan Kewangan, MYAirline Umum Gantung Operasi

Loke berkata Kementerian Pengangkutan amat prihatin terhadap perkara ini terutamanya dalam memastikan hak pengguna dilindungi, dan memantau rapat perkembangan berkenaan melalui MAVCOM demi memastikan semua aduan dan isu yang dibangkitkan oleh penumpang dapat ditangani.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pengangkutan itu merakamkan penghargaan kepada Malaysia Airlines, Firefly, Batik Air dan AirAsia yang tampil menghulur bantuan dan menawarkan tambang harga diskaun kepada penumpang terjejas mendapatkan penerbangan alternatif.

“Syarikat pengendali lapangan kapal terbang Malaysia Airports juga akan berusaha sedaya-upaya membantu pengguna yang terjejas dengan menyediakan kaunter-kaunter khas, kawasan menunggu serta memberi baucar makanan,” katanya.

MAVCOM telah meluluskan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) kepada MYAirline untuk tempoh 12 bulan mulai dari 15 Nov 2022 hingga 14 Nov 2023

Sumber: BERNAMA

The post Gantung Operasi: MYAirline Tidak Bertanggungjawab, 125,000 Penumpang Terjejas – Loke appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*