Gempa Turkiye: Lebih 100 Orang Termasuk Di Syria Terkorban

gempa turkiye

Gempa Turkiye: Lebih 100 Orang Termasuk Di Syria Terkorban

ISTANBUL — Lebih 100 orang dilapor terkorban dalam satu gempa bumi kuat yang melanda di Gaziantep, Turkiye pada awal pagi waktu tempatan.

Jumlah itu melibatkan mangsa yang berada di Turkiye dan juga Syria yang turut terkesan dengan gempa tersebut.

Memetik laporan AFP, Menteri Kesihatan Syria dalam satu kenyataan berkata seramai 111 kematian direkodkan manakala 516 cedera di wilayah Aleppo, Latakia, Hama dan Tartus.

Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud berlaku di Turkiye sewaktu penduduk sedang nyenyak tidur dan dapat dirasai sehingga ke Syria, kepulauan Cyprus  dan Mesir.

Pegawai tempatan Turkiye pada awalnya memaklumkan jumlah kematian awal ialah seramai 76 orang namun jumlah itu berkemungkinan bakal meningkat susulan masih terdapat mangsa yang terperangkap di dalam runtuhan.

Gambar: MAHMUT BOZARSLAN/AFPTV/AFP

Sementara itu, gambar di televisyen turut menyiarkan situasi semasa orang ramai berdiri di atas salji sambil memakai pakaian tidur untuk diselamatkan oleh pasukan penyelamat.

Pasukan penyelamat dilaporkan sedang giat menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di bandar Kahramanmaras dan Gaziantep.

BACA JUGA: Gempa Bumi Turkiye: Banyak Bangunan Runtuh, Rosak

Pusat Perkhidmatan Kecemasan (AFAD) Turkiye melaporkan gempa pertama berukuran 7.4 pada skala Ritcher. Ia merupakan salah satu gempa bumi paling kuat yang pernah melanda rantau itu dalam tempoh satu abad.

Ketua AFAD, Orhan Tatar dalam siaran televisyen nasional berkata ia merupakan bencana paling dahsyat yang pernah melanda rantau berkenaan.

“Terdapat banyak bangunan rosak dan orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan sekitar kawasan bangunan,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam satu ciapan di Twitter menzahirkan rasa simpati kepada semua rakyatnya yang terjejas akibat bencana alam itu.

“Kami berharap agar kita semua dapat melalui dugaan ini (gempa) bersama-sama secepat mungkin dengan kerosakan paling minimum,” katanya.

Gambar: MAHMUT BOZARSLAN/AFPTV/AFP

Sementara itu, menurut media tempatan, sekurang-kurangnya 50 orang turut dilaporkan terkorban di bahagian yang dikuasai oleh pro-Turki.

Gabenor Kahramanmaras Omer Faruk Coskun, berkata masih terlalu awal untuk menganggarkan jumlah kematian kerana masih banyak bangunan yang musnah.

Untuk makluman, gempa itu berlaku pada jam 4.17 pagi waktu tempatan dengan pusat gegaran terletak pada kedalaman 17.9 kilometer (11 batu) di bawah laut. Manakala gempa susulan berlaku 15 minit kemudian dengan gegaran 6.7 magnitud.

Gempa itu mengakibatkan kebanyakan bangunan musnah di seluruh bandar utama di selatan Turkiye dan Syria.

Gempa Bumi Paling Teruk 

Individu yang mengetuai Pusat Gempa Nasional Syria, Raed Ahmed  sewaktu memberitahu radio tempatan berkata ia merupakan gempa terburuk pernah direkodkan dalam sejarah.

Sementara itu, Pakar Gempa dan Akademi Sains Turki, Naci Gorur menggesa pegawai tempatan untuk memeriksa empangan di sekitar rantau itu.

Ia bagi memastikan tidak berlaku keretakan sekaligus mengelakkan banjir yang boleh membawa bencana.

Terdahulu, gempa bumi paling teruk dicatatkan pada tahun 1999 di Duzce, Turkiye sejak beberapa dekad lalu. Ia berukuran 7.4 pada skala Richter.

Dalam bencana alam itu, lebih 17,000 orang dilaporkan terkorban termasuk kira-kira 1,000 orang di Istanbul.

Pada 2020, gempa bumi berukuran 6.8  pada skala Ritcher telah melanda Elazig. Lebih 40 orang dilaporkan terbunuh dalam bencana itu.

Pada Oktober tahun yang sama, satu lagi gegaran dicatatkan dengan bermagnitud 7.0 pada skala Ritcher di Laut Aegan yang membunuh 114 orang dan lebih 1,000 orang cedera.

Sumber: AFP

The post Gempa Turkiye: Lebih 100 Orang Termasuk Di Syria Terkorban appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*