Hukum Guna Tabung Sperma Daripada Suami Yang Dah Meninggal Dunia

Hukum guna tabung sperma

Hukum Guna Tabung Sperma Daripada Suami Yang Dah Meninggal Dunia

Pastinya setiap pasangan yang berkahwin mempunyai impian untuk mendapatkan zuriat, ia menjadi bukti kepada ikatan perhubungan yang dibina.

Zuriat yang lahir kelak akan menjadi pewaris untuk meneruskan susur galur keturunan bagi ibu dan bapa.

Namun begitu, tidak semua pasangan bernasib baik dalam mendapatkan zuriat walaupun sudah berkahwin dalam tempoh yang lama.

Justeru, mereka tetap berusaha untuk mendapatkan anak termasuk melalui kaedah Persenyawaan In Vitro (IVF) atau bayi tabung uji.

Kaedah ini adalah dibolehkan di dalam agama Islam tetapi timbul persoalan jika tiba-tiba suami meninggal dunia. Bagaimana dengan tabung sperma suami yang telah disimpan, adakah ia masih boleh disenyawakan dengan ovum isteri?

Untuk mengetahui dengan lebih jelas mengenai persoalan ini, ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah ini.

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Ada orang tanya isu bayi tabung uji. Sepasang suami isteri menyimpan 7 tabung sperma untuk bayi tabung uji. Tiba-tiba suami itu meninggal. Adakah boleh terus disenyawakan dengan ovum isteri setelah ketiadaan suami?

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt, 

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Diharamkan bagi seorang balu menggunakan air mani suami yang telah meninggal dunia bagi tujuan menghasilkan bayi tabung uji. Ini kerana hubungan perkahwinan tamat apabila suami meninggal dunia. Justeru, benih lelaki yang disimpan sebelum kematian tidak boleh digunakan oleh isteri untuk tujuan persenyawaan dan kehamilan.

Bayi Tabung Uji dari benih suami isteri yang dicantumkan secara ‘terhormat’ adalah sah di sisi Islam

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-5 yang bersidang pada 16-17 November 1982 dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-6 yang bersidang pada 10 Oktober 1983 telah membincangkan Bayi Tabung Uji. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Bayi Tabung Uji dari benih suami isteri yang dicantumkan secara ‘terhormat’ adalah sah di sisi Islam. Sebaliknya benih yang diambil dari bukan suami isteri yang sah bayi tabung itu adalah tidak sah.
  1. Bayi yang dilahirkan melalui tabung uji itu boleh menjadi wali dan berhak menerima harta pusaka dari keluarga yang berhak.
  1. Sekiranya benih dari suami atau isteri yang dikeluarkan dengan cara yang tidak bertentangan dengan Islam, maka ianya dikira sebagai cara ‘terhormat’.

Antaranya kaedah bayi tabung uji yang diharamkan ialah menggunakan air mani suami yang disimpan Bank Sperma kemudian digunakan oleh isteri selepas kematian suami untuk tujuan kehamilan. Berkata Syeikh Prof. Dr. Ali al-Qurahdaghi dalam kitabnya Fiqh al-Qadhaya al-Fiqhiyyah al-Mu`asirah (hlm. 574):

“Seperti mana persenyawaan itu mungkin berlaku semasa suami masih hidup, persenyawaan juga mungkin berlaku setelah suami mati. Hal itu berlaku apabila sesuatu (kehamilan) itu terhasil selepas kematian suami dengan menggunakan nutfah (air mani lelaki atau peringkat awal janin) yang diambil sebelum kematian suami lalu disimpan dalam suatu tempat yang dinamakan “Bank Sperma”. Persenyawaan jenis ini adalah haram secara qat`I sama ada dilakukan secara in-vitro (luar rahim) atau in-vivo (dalam rahim). Ini kerana hubungan perkahwinan tamat dengan kematian, justeru apabila berlaku persenyawaan maka itu berlaku dengan benih bukan suami lalu jadilah ia nutfah yang diharamkan. Sekiranya lahir juga anak daripada hal itu, maka zahirnya anak itu tidak dinasabkan kepada si suami selama mana punca benih itu tidak kekal hidup.”

BACA: Hukum Letak Ayat Al-Quran Pada Gambar Yang Tidak Bersesuaian

Berdasarkan kenyataan di atas, kami bersetuju dengan pendapat ini bahawa tabung uji yang berisi air mani suami yang sudah meninggal dunia tidak boleh lagi digunakan dan hendaklah dihapuskan, sesuai dengan pandangan hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-1 yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 bahawa sekiranya bank air mani telah sedia wujud maka kerajaan hendaklah bertindak untuk menghapuskannya.

Wallahua’lam.

BACA: Tak Ada Kaitan Dengan Musang, Ini Asal Usul Nama Durian Musang King Yang Ramai Tak Tahu

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

The post Hukum Guna Tabung Sperma Daripada Suami Yang Dah Meninggal Dunia appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*