Inisiatif Bandar Mesra Usia Dijalankan Secara Berperingkat Di P.Pinang

inisiatif Bandar Mesra Usia pinang

Inisiatif Bandar Mesra Usia Dijalankan Secara Berperingkat Di P.Pinang

GEORGE TOWN, 23 Nov (Bernama) — Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini diberitahu kerajaan negeri telah memperkenalkan inisiatif Bandar Mesra Usia yang dijalankan secara berperingkat bagi mewujudkan persekitaran yang mesra untuk semua lapisan masyarakat khususnya warga emas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim berkata pelan tindakan strategik dan komprehensif akan dirumuskan pada bulan depan untuk diaplikasikan serta dilaksanakan pada 2024 dengan mengiktiraf bahagian pulau sebagai Bandar Mesra Usia menjelang 2025.

“Bahagian pulau telah dipilih sebagai projek rintis dalam menjalankan kajian mendalam berdasarkan Kerangka Kerja Bandar Mesra Usia Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Saya ingin menegaskan bahawa Seberang Perai tidak dipinggirkan sama sekali dan pelan untuk mengiktiraf Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sebagai Bandar Mesra Usia akan dimulakan pada tahun depan,” katanya semasa sesi penggulungan usul terima kasih ucapan Yang Dipertua Pulau Pinang pada sidang DUN di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi pengalaman dan ilmu yang telah diperoleh daripada pelaksanaan inisiatif itu bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang, kerajaan negeri dengan sokongan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) akan bekerjasama rapat dengan MBSP untuk memastikan MBSP juga mencapai pengiktirafan sebagai Bandar Mesra Usia.

Lim berkata Pulau Pinang bukan hanya sebuah negeri yang mesra usia, tetapi juga memelihara kepentingan semua lapisan masyarakat, termasuk warga emas, orang muda, dewasa, orang kurang upaya (OKU), wanita dan lelaki pada masa depan.

Sementara itu, katanya dalam usaha menghadapi cabaran negeri menua, kerajaan negeri telah melancarkan Pelan Hala Tuju Penuaan Aktif pada tahun lepas bagi mengiktiraf dan memperkasakan warga emas sebagai aset pembangunan negeri.

“Pelan ini memberi fokus kepada pelaksanaan program, mempertingkatkan jaringan kerjasama dengan pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) serta penggubalan dasar yang mampan untuk meningkatkan kesejahteraan sosial, fizikal dan psikologi warga emas.

“Pelan Hala Tuju Penuaan Aktif ini terbahagi kepada tiga fasa iaitu Fasa Kesedaran, Fasa Integrasi dan Fasa Kemampanan. Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, Pulau Pinang tergolong dalam kategori negeri menua iaitu peratusan penduduk yang berusia 65 tahun dan ke atas mencapai 7.7 peratus, sedangkan 7 peratus merupakan penanda aras sebagai negeri menua,” katanya.

Menurut Lim kenaikan jumlah warga emas, terutamanya di Pulau Pinang akan membawa kesan yang signifikan terhadap pembangunan sosioekonomi dan kedudukan fiskal negeri sekiranya perhatian serius tidak diberikan.

Beliau berkata golongan tersebut juga berhak menikmati hak sama rata tanpa mengira latar belakang melalui sokongan yang berterusan dari aspek penjagaan kesihatan, kebajikan dan sosioekonomi untuk menghadapi hari tua dengan penuh martabat.

BACA: Kenapa Dalam Sukan, Taiwan Dipanggil Chinese Taipei? Ini Sejarahnya Ramai Tak Tahu

Sumber: Bernama

The post Inisiatif Bandar Mesra Usia Dijalankan Secara Berperingkat Di P.Pinang appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*