Isu Lambakan Madu Tiruan Di Pasaran, KKM Beri Penjelasan

Isu Lambakan Madu Tiruan

Isu Lambakan Madu Tiruan Di Pasaran, KKM Beri Penjelasan

Semalam tular media sosial laporan berkenaan lambakan madu tiruan yang dijual di dalam pasaran.

Susulan laporan tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengeluarkan kenyataan bagi menjawab isu-isu yang dibangkitkan.

Menurut KKM di Malaysia, madu diklasifikasikan berdasarkan spesis lebah yang
menghasilkannya.

“Madu” merujuk kepada madu yang dihasilkan oleh lebah madu apis dorsata
atau “madu kelulut” yang dihasilkan dari stingless bee.

Produk madu yang dijual pula perlu mematuhi standard yang telah ditetapkan dibawah Peraturan 130, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Antaranya adalah mengandungi tidak kurang daripada 60 peratus gula penurunan. Selain itu, kandungan sukrosa pula tidak boleh melebihi 10 peratus.

Malah, madu juga tidak boleh mengandungi hydroxymethylfurfural (HMF) lebih daripada 80 mg/kg.

Menurut KKM, pemantau ke atas produk-produk madu yang dijual dibuat melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM).

“Sebanyak 769 sampel produk madu dengan pelbagai jenama telah diambil dari tahun 2016 sehingga kini.

“Hasil pemantauan mendapati 45 sampel (5.85%) produk madu tidak mematuhi standard yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas syarikat dan produk terlibat,” ujar KKM.

Sementara itu, akta Seksyen 13(2)(e) memperuntukkan tiada siapa boleh menyediakan atau menjual makanan yang diadukkan jika tidak mematuhi piawai atau spesifikasi yang ditetapkan oleh mana-mana peraturan yang telah dibuat di bawah akta ini

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya.

BACA: (Video) Elak Tertipu, Wanita Ni Kongsi Cara Nak Bezakan Madu Asli Dan Madu Yang Telah Dicampur 

Lanjutan daripada itu, KKM juga turut menawarkan Skim Pensijilan Makanan Autentik.

Sijil itu bertujuan mengiktiraf produk makanan yang disahkan autentik/tulen sekaligus memenuhi kriteria yang ditetapkan di dalam skim pensijilan tersebut.

“Ini termasuklah produk madu, daging, kopi dan sarang burung walit. Sehingga kini, tujuh (7) syarikat telah memperolehi Pensijilan Autentik untuk produk madu dari KKM,” jelas KKM.

Bagi menentukan ketulenan madu menggunakan teknik terkini, KKM sedang menjalankan kerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Pertanian.

Dalam pada itu, teknik berkenaan menggunakan isotop sebagaimana disarankan oleh piawai makanan antarabangsa Codex.

Pada waktu yang sama, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Pengguna disarankan membaca label dan memilih produk makanan yang mempunyai logo Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) seperti Autentik, MeSTI, GMP dan HACCP dari KKM,” tambah KKM lagi.

Di samping itu, para pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.

Malah pengguna boleh memeriksa melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Sumber: Laman X KKMalaysia

The post Isu Lambakan Madu Tiruan Di Pasaran, KKM Beri Penjelasan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*