Wanita Maut Ditikam Beberapa Kali Di Klang 

wanita maut ditikam

Wanita Maut Ditikam Beberapa Kali Di Klang 

SHAH ALAM, 19 Dis (Bernama) — Seorang wanita tempatan maut akibat ditikam beberapa kali pada bahagian depan dan belakang badan oleh seorang lelaki, dalam kejadian yang berlaku di Jalan Bayu Tinggi 5, Taman Chi Liung, Klang petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima laporan pada 2.17 petang berkenaan kejadian itu, daripada seorang wanita yang menyatakan mangsa ditikam oleh seorang lelaki tempatan, yang kemudiannya membawa wanita itu menaiki kereta.

“Hasil siasatan mendapati pada 1.20 tengah hari semalam, mangsa berusia 26 tahun itu berjumpa dengan suspek di sebuah restoran sekitar Jalan Bayu Tinggi 6 dan selesai makan mereka berdua pergi ke lokasi parkir kereta di Jalan Bayu Tinggi 5.

“Apabila sampai di kereta Chevrolet berwarna perak, suspek telah menikam mangsa beberapa kali di badan menggunakan pisau dan kemudian memasukkannya ke dalam kereta itu sebelum beredar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki itu kemudian terus memandu ke rumahnya di Jalan Sungai Nibong 5, Kapar dan sebaik tiba, suspek cuba mengejutkan mangsa namun tidak berjaya.

BACA JUGA: Rapid Rail Sahkan Tayar Monorel Terbakar, Perkhidmatan Beroperasi Seperti Biasa

Suspek berumur 44 tahun itu kemudian telah mencederakan diri sendiri dengan menikam badannya dipercayai menggunakan pisau yang sama, sebelum polis tiba di lokasi pada jam 4.20 petang bagi menahan lelaki itu.

“Pemeriksaan di dalam kereta menemukan mangsa di bahagian tempat duduk penumpang hadapan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan wanita itu telah meninggal dunia. Unit forensik polis juga menemukan pisau dipercayai digunakan suspek,” katanya.

Cha berkata suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod lampau, kini direman selama tujuh hari sehingga 25 Dis dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau memberitahu bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati, mayat mangsa mempunyai banyak kesan tikaman di bahagian depan dan belakang badan dan punca kematian ialah disebabkan kesan tikaman di dada yang tembus ke jantung.

“Polis masih menyiasat mengenai punca kejadian dan pada masa sama pegawai penyiasat sedang melengkapkan siasatan seterusnya akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Wanita Maut Ditikam Beberapa Kali Di Klang  appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*