Isu rumah tidak terjual di Johor akan dibincang di Putrajaya

JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan perbincangan dengan Exco Johor bagi membincangkan secara terperinci mengenai isu projek sakit serta rumah tidak terjual di negeri ini.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, perkara tersebut turut dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan lawatan  ke Johor semalam.

Menurut beliau, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor pada awal bulan depan di Putrajaya.

“Semalam ketika Perdana Menteri turun ke Johor, Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) ada menyentuh isu ini dan meminta Mohd. Jafni untuk  berbincang dengan KPKT mengenai isu projek sakit dan rumah tidak terjual.

“Bagi saya, ini peluang untuk mengurangkan bebanan isu perumahan di negeri ini dengan menyelaraskan kerjasama antara Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan bencana (banjir) di Balai Raya, Jalan Hujung di sini hari ini.

Pada awal bulan lalu, Mohd. Jafni dilaporkan berkata, terdapat sebanyak 17 projek sakit dan tujuh projek terbengkalai dikenal pasti di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama membantu memulihkan projek perumahan sakit serta bertindak sebagai pemudah cara membantu pelikuidasi dan kontraktor penyelamat untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi teknikal serta pihak yang berkepentingan.

Mohd. Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, projek sakit yang bakal diselesaikan pada awal tahun depan melibatkan 625 unit di Taman Residensi Kota Tinggi yang dimajukan oleh PR1MA.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, pihaknya sedia maklum dengan situasi lebih 6,000 unit rumah ‘overhang’ atau tidak terjual bernilai RM4.7 bilion yang direkodkan di negeri ini.

“Dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi, saya akan duduk semeja dengan Mohd. Jafni bagi melihat dengan lebih terperinci serta merangka kaedah terbaik untuk mengatasi isu ini,” katanya. – UTUSAN

The post Isu rumah tidak terjual di Johor akan dibincang di Putrajaya appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*