Jambatan Runtuh, Usang Di Kuala Betis Siap Dibaik Pulih – JAKOA

Jambatan runtuh

Jambatan Runtuh, Usang Di Kuala Betis Siap Dibaik Pulih – JAKOA

GUA MUSANG, 29 Dis (Bernama) — Dua jambatan usang serta sebuah jambatan runtuh di sepanjang laluan menuju ke Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis telah dibaik pulih semalam.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu Zarina Razlan berkata jambatan terbabit ialah Jambatan Sungai Bawik, Jambatan Sungai Kaled dan Jambatan Sungai Pusar.

Beliau berkata berikutan itu masyarakat Orang Asli yang tinggal di lokasi berkenaan sudah boleh menggunakan jambatan yang telah dibuka kepada semua kenderaan.

“JAKOA dengan kerjasama Ketua Jajahan Gua Musang Nik Raisnan Daud telah mengadakan rundingan bersama pihak kontraktor balak dan syarikat kebun durian Musang King yang beroperasi di kawasan terbabit.

“Tindakan membaik pulih jambatan dilakukan oleh dua pihak berkenaan memandangkan laluan itu turut dilalui oleh kenderaan berat daripada ketiga-tiga syarikat balak, ladang sawit dan kebun durian,” katanya kepada pemberita hari ini.

BACA: Tak Ada Kaitan Dengan Musang, Ini Asal Usul Nama Durian Musang King Yang Ramai Tak Tahu

Sementara itu, Penghulu RPS Kuala Betis (Blok A) Rozi Asod, 50, berterima kasih kepada JAKOA yang menjadi pemudah cara bagi membantu penduduk mendapatkan jambatan yang lebih selamat dan kukuh untuk dilalui.

“Kita harap ia mampu bertahan dalam tempoh lebih lama dan tidak mudah rosak setiap kali berlaku hujan lebat seperti sebelum ini,” katanya.

Pada 14 Dis lalu, penduduk dari sembilan kampung di RPS Kuala Betis (Blok A) terpaksa menggunakan tiga jambatan kayu balak usang sebagai laluan utama keluar dan masuk ke penempatan itu.

Selasa lepas, satu daripada jambatan terbabit terpaksa digantikan dengan jambatan daripada buluh selepas ia runtuh akibat banjir.

Sumber: BERNAMA

The post Jambatan Runtuh, Usang Di Kuala Betis Siap Dibaik Pulih – JAKOA appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*