Jangan kecam pemain Harimau Malaya – Kim Pan-gon

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui tidak menyimpan sebarang pe­rasaan kesal sebaliknya bersedia memikul tanggungjawab selepas skuad negara tersingkir di peringkat separuh akhir Piala AFF 2022 kelmarin.

Sebagai rekod, langkah pasukan negara terhenti selepas tewas 1-3 secara agregat kepada musuh tradisi, Thailand yang merekodkan kemenangan bergaya 3-0 di Stadium Thammasat pada aksi separuh akhir kedua kelmarin.

Menurut Pan-gon, kekalahan tersebut berpunca daripada aspek taktikal yang diatur selepas dilihat gagal mengekang aksi dominan yang dipamerkan oleh skuad Gajah Perang selaku pasukan tuan rumah.

“Saya mohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak dapat memberi kebanggaan buat anda. Secara peribadi, tiada apa yang saya mahu katakan mengenai prestasi pemain kerana mereka sudah berusaha 100 peratus dan mengikut arahan ditetapkan.

“Jika ada masalah, sudah tentu ia berpunca daripada saya khususnya dari aspek taktikal, pemilihan pemain dan sebagai­nya. Justeru, saya ambil tanggungjawab atas kekalahan ini kerana tidak wajar untuk kecaman diberikan kepada pemain.

“Apa yang pasti, saya hargai pengorbanan yang diberikan oleh semua pemain untuk korbankan cuti mereka dengan menyahut cabaran serta panggilan kebangsaan.

“Mungkin kami akan bersedih kerana tidak dapat mara ke pentas final tetapi saya pasti pemain sudah dapat pengajaran berguna,” kata pengendali import dari Korea Selatan itu selepas tamat perlawanan.

Kemenangan 1-0 ke atas Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lalu belum cukup untuk memberi keselesaan buat Harimau Malaya selepas tuan rumah bangkit menerusi jaringan yang dilakukan oleh Teerasil Dangda, Bordin Phala dan Adisak Kraisorn.

Kekalahan tersebut menyaksikan harapan Malaysia untuk menamatkan kemarau 13 tahun kejuaraan Piala AFF tidak kesampaian selepas kali terakhir bergelar juara pada edisi 2010.

Fokus Pan-gon dan pasukan kebangsaan kini dialihkan pada saingan Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung di Qatar dengan tarikh kejohanan akan diumumkan dalam masa terdekat.

The post Jangan kecam pemain Harimau Malaya – Kim Pan-gon appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*