Janji ‘ride santai’, tayar golek terus berlumba

SEJAK sekian lama, aktiviti konvoi sentiasa mendapat tempat di hati para penggemar kenderaan bermotor terutamanya motosikal di negara ini tanpa mengira usia dan golongan.

Aktiviti konvoi biasanya melibatkan lebih daripada satu kenderaan yang bergerak bersama-sama dari satu tempat menuju ke destinasi tertentu seperti tempat-tempat makan viral atau kawasan pelancongan popular.

Program yang sering dilakukan pada hujung minggu dan cuti umum itu sering dianjurkan oleh kumpulan motosikal atas alasan untuk mengeratkan silaturahim antara ahli-ahlinya.

Dalam poster konvoi, pihak penganjur sering menggunakan perkataan ‘ride santai’ bagi menarik perhatian ahli-ahlinya untuk turut serta.

Untuk makluman, ‘ride santai’ bermaksud aktiviti menunggang motosikal secara santai atau perlahan menuju ke destinasi.

Malangnya, terdapat segelintir penunggang motosikal yang menjadikan aktiviti konvoi sebagai medan menguji kemampuan jentera masing-masing serta menunggang secara berbahaya seperti melakukan aksi wheelie dan Superman.

Disebabkan tindakan itu, ada peserta konvoi lain yang ‘terbakar’, sebelum turut serta menguji kelajuan motosikal mereka. Akhirnya, aktiviti konvoi yang santai kononnya bertukar menjadi medan berlumba haram.

Tindakan menunggang secara melulu itu bukan sahaja mengundang risiko kemalangan kepada peserta konvoi, malah turut mengancam pengguna jalan raya lain.

Disebabkan itu, tidak hairanlah apabila kita sering mendengar berita-berita kemalangan maut menerusi media massa yang membabitkan peserta konvoi terutamanya motosikal.

Hakikatnya, aktiviti konvoi tidak salah, malah dibenarkan oleh undang-undang jalan raya di negara. Bagaimanapun, penganjur dan peserta perlu mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Salah satunya, penganjur konvoi perlu menghantar senarai peserta dan motosikal terlibat kepada pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Senarai tersebut akan digunakan oleh pihak JPJ untuk memeriksa butiran setiap peserta seperti tempoh sah insurans dan lesen memandu serta keadaan kenderaan yang terlibat dalam konvoi.

Pihak polis dan JPJ juga akan berada di lokasi yang ditetapkan untuk memantau keadaan dalam usaha memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

The post Janji ‘ride santai’, tayar golek terus berlumba appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*