Polis Britain rampas uranium untuk buat ‘bom kotor’

LONDON – Polis antikeganasan dan perkhidmatan keselamatan Britain sedang melakukan siasatan selepas pihak berkuasa merampas bungkusan berisi uranium berasal dari Pakistan di Lapangan Terbang Heathrow, London, lapor portal berita The Sun kelmarin.

Bahan untuk membuat bom nuklear itu tidak diisytiharkan dan dirampas pada 29 Disember tahun lalu. Ia boleh digunakan untuk membuat bom mengandungi bahan radiokatif atau lebih dikenali sebagai ‘bom kotor’.

Bungkusan yang disyaki diseludup ke Britain itu berada di dalam sebuah pesawat penumpang milik syarikat penerbanan Oman Air dari Muscat. Ia ditemui di Terminal 4 lapangan terbang tersebut.

Pakar-pakar yang menggunakan peralatan pengimbas berjaya mengesan uranium tersebut ketika ia dibawa ke gudang barangan sekali gus mencetuskan amaran bahaya.

Ia mendorong ejen-ejen Pasukan Sempadan Britain mengasingkan bungkusan yang tidak berdaftar itu ke dalam sebuah bilik radioaktif khas, manakala polis antikeganasan telah dimaklumkan tentang penghantaran tersebut.

Setakat ini, pihak polis menyasarkan sebuah firma Iran berpangkalan di Britain yang mana bahan itu akan dihantar kepada penerima misteri tetapi tiada tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa setakat ini.

Pasukan forensik juga mengambil masa berhari-hari meneliti penghantaran yang berjaya dikesan itu ketika ia dipindahkan ke gudang barang milik firma pengendalian Swissport.

Polis Metropolitan berkata: “Kami boleh mengesahkan bahawa anggota-anggota Pusat Pemerintah Memerangi Keganasan telah dihubungi oleh Pasukan Sempadan di Heathrow berikutan sejumlah kecil bahan tercemar dikenal pasti semasa pemeriksaan rutin melibatkan bungkusan yang masuk ke Brtain pada

29 Disember tahun lalu.

“Bahan itu telah dikenal pasti tercemar dengan uranium,” katanya. – Agensi

The post Polis Britain rampas uranium untuk buat ‘bom kotor’ appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*