Kajian Terperinci Perlu Sebelum Wujudkan Sekolah Khas Pelajar Miskin Tegar

Kajian Terperinci Perlu Sebelum Wujudkan Sekolah Khas Pelajar Miskin Tegar

Kajian Terperinci Perlu Sebelum Wujudkan Sekolah Khas Pelajar Miskin Tegar

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) — Usaha menoktahkan kemiskinan tegar khususnya dalam kalangan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut memberi penekanan kepada pendidikan anak-anak mereka, di samping membantu meningkatkan taraf ekonomi serta kehidupan golongan itu.

Komitmen ini jelas dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu lepas (5 Ogos) iaitu hasrat memperkenalkan konsep sekolah jenis baharu yang menyasarkan anak-anak keluarga paling miskin agar mereka tidak tercicir dalam bidang pendidikan.

Pada dasarnya langkah ini dilihat sangat baik, namun mencetuskan reaksi berbeza daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pakar akademik. Antara komen yang dilontar ialah kewajarannya serta mekanisme yang akan dilaksanakan dalam memastikan matlamat yang ingin dicapai.

Paling dibimbangi ialah impak pengasingan pelajar miskin di sekolah khas dan ini yang paling banyak diutarakan pakar dan juga netizen berdasarkan hasil tinjuan di platform media sosial. Kebanyakannya kurang bersetuju dengan cadangan berkenaan kerana dilihat tidak selari dengan matlamat pendidikan yang mahu mengintegrasikan semua masyarakat tidak kira kaya, miskin dan bangsa.

Selain itu, ia dilihat sebagai pemulaan mewujudkan kelas masyarakat serta ada juga yang berpandangan bahawa kerajaan sewajarnya menumpukan inisiatif menambah baik dan memperbaiki sekolah daif sedia ada.

Oleh yang demikian, pakar berpandangan perlunya satu kajian menyeluruh dilakukan sebelum pelaksanaan sekolah khas itu direalisasikan berikutan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sebelum ini berkata, projek rintis untuk sekolah berkenaan dijangka dapat dibuka dan beroperasi seawal tahun depan (2024).

KEPERLUAN ATAU TIDAK?

Pakar pendidikan Dr Anuar Ahmad, antaranya membangkitkan kemampuan dana kerajaan dalam menyediakan sekolah khas yang dirancang itu memandangkan jangkaan terdapat puluhan ribu pelajar anak orang miskin di negara ini.

“Biarpun saya menyokong penuh hasrat kerajaan membantu golongan miskin, namun ada beberapa perkara yang harus diteliti termasuk kemampuan kerajaan dalam menyediakannya. Berapa banyak yang perlu dibina sekolah khas ini kerana bilangan pelajar miskin ketika ini boleh mencapai puluhan ribu.

“Adakah kerajaan perlu tubuhkan puluhan sekolah khas untuk anak-anak miskin ini sedangkan peruntukan yang diberikan untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Belanjawan 2023 hanya mampu membina tujuh sahaja sekolah baharu,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga pensyarah di Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, tidak ada keperluan untuk sekolah khas itu diwujudkan, sebaliknya berpandangan kerajaan boleh memperkasakan sekolah asrama harian dalam menangani isu keciciran pelajar miskin.

Menurut beliau, penubuhan sekolah asrama harian yang diperkenalkan sejak tahun 1976 dan kini terdapat sebanyak 1,494 buah, terbukti berjaya memberi pendidikan kepada anak orang miskin ke peringkat sekolah menengah sehingga menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kerana itu, beliau melihat ada keperluan kerajaan perpaduan menambah bilangan sekolah menengah biasa menjadi sekolah asrama harian khususnya di kawasan bandar yang mempunyai jumlah ramai pelajar miskin bandar.

“Memang tujuan asal penubuhan sekolah asrama harian adalah hasil daripada Laporan Keciciran Murad 1972 bagi mengatasi keciciran pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman dan miskin.

“Memperkasakan sekolah asrama harian adalah lebih praktikal dan menjimatkan kos berbanding membina sekolah baharu khusus untuk pelajar miskin. Misalnya, sekiranya sekolah asrama harian boleh memuatkan 500 pelajar, secara automatik kita dapat membantu kira-kira 750,000 murid dari golongan paling miskin,” katanya.

Walaupun begitu, beliau berkata, kerajaan perlu mengenal pasti sasaran golongan pelajar paling banyak berlaku keciciran dengan memberi penekanan kepada kumpulan itu untuk melanjutkan pengajian.

Ini memandangkan berdasar data KPM 2021, masalah keciciran paling banyak berlaku dalam kalangan pelajar sekolah menengah khususnya mereka yang berumur 15 hingga 17 tahun.

KESAN PSIKOLOGI

Sementara itu, Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Prof Dr Zawawi Ismail pula menyuarakan kebimbangan akan kesan psikologi yang akan berlaku daripada pembinaan sekolah berkenaan apabila wujudnya pengasingan antara golongan miskin dan kelompok pendapatan lain.

Beliau berpandangan, pembinaan sekolah khas pada dasarnya mengekang mereka untuk bercampur dengan pelbagai lapisan masyarakat sekali gus mewujudkan persepsi yang mungkin kurang adil terhadap mereka.

“Biarpun usaha kerajaan memperkenalkan sekolah khas untuk murid miskin adalah bagi tujuan baik, namun ini juga boleh memberikan kesan psikologi (pembangunan keyakinan diri, daya saing) kepada pelajar di sekolah berkenaan apabila mereka tidak bergaul dengan kelompok sosial berbeza.

“Kita juga bimbang keadaan ini akan melebarkan lagi jurang sosial sedia ada selain memungkinkan berlakunya peningkatan gejala sosial yang boleh mengancam masyarakat,” katanya, yang turut mencadangkan beberapa perkara perlu menjadi keutamaan kerajaan dalam membantu anak-anak golongan miskin.

Ini termasuk memperkasakan bantuan, dengan kerajaan sewajarnya meneruskan bantuan kelengkapan persekolahan, wang saku, memperkasa program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan makanan yang berkhasiat serta meneliti pelbagai bantuan lain yang boleh dilakukan dalam meningkatkan kualiti pembelajaran golongan ini.

Selain beliau juga melihat akan keperluan meningkatkan kemampuan fasiliti dan kelengkapan sekolah terutama di luar bandar yang masih kurang diberi perhatian termasuk memperkasa dasar kerajaan yang memberi keutamaan kepada anak-anak orang miskin seperti penambahan kuota ke institusi pengajian tinggi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)

BACA: Kajian Dapati Individu Kerap “Up” Gambar Selfie Dengan Pasangan Mungkin Tak Sebahagia Disangkakan

Sumber: Bernama

The post Kajian Terperinci Perlu Sebelum Wujudkan Sekolah Khas Pelajar Miskin Tegar appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*