“Pecat Klinsman,” Peminat Korea Selatan Mahu Kim Pan-gon Jadi Pengganti

kim pan gon korea selatan

“Pecat Klinsman,” Peminat Korea Selatan Mahu Kim Pan-gon Jadi Pengganti

Taktikal ‘agung’ Harimau Malaya yang ditampilkan Kim Pan-gon ketika seri menentang Korea Selatan semalam ternyata memikat hati penyokong negara asalnya.

Malaysia turun dalam perlawanan terakhir untuk mencari keputusan positif selepas gagal mengutip sebarang mata atau menyumbat gol dalam perlawanan menentang Jordan dan Bahrain.

Meskipun keputusan tersebut sekadar pengubat duka skuad kebangsaan yang sudah tersingkir dari Piala Asia, namun kejayaan mengikat Taeguk Warriors itu mendapat pujian melangit.

Gambar: Bernama

Melihat pasukan kebangsaan mereka seolah bergelut dalam Piala Asia kali ini, sebahagian penyokongnya mahu jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann dipecat.

Lebih menarik, nama Pan-gon disebut-sebut sebagai individu mampu mengambil alih kerusi panas itu.

Malah ada yang mendakwa Klinsmann tidak serius dan kelihatan tenang ketika anak buahnya sekadar mampu mencatatkan keputusan seri menentang Malaysia.

“Saya harap Korea akan kalah di pusingan 16 pasukan terbaik. Selepas itu, gantikan pengurus dengan Pan-gon,” ujar Calvin Ryu.

“Selepas dua kali menyaksikan perlawanan Korea, corak permainan yang ditonjolkan sangat buruk. Kumpulan pemain yang ada bermain dengan teruk sebagai satu pasukan,” kata Tae Jeon pula.

“Dia langsung tak berikan reaksi ketika Son Heung-min menjaringkan gol. Pan-gon lebih beremosi,” komen Tayo Mello pula.

Gambar: AFP

BACA: Malaysia Lonjak 4 Anak Tangga Dalam Ranking FIFA

Menurut Sinar Harian, impian peminat Korea Selatan itu dilihat tidak mustahil selepas ada desas-desus bahawa Pan-gon sedang ‘merajuk’.

Jika benar, Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) boleh memulakan langkah memujuk jurulatih itu untuk menyertai pasukan kebangsaan.

Pan-gon pula mungkin akan sukar untuk menolak tawaran berkenaan sekiranya KFA benar-benar berhajatkan khidmatnya.

Walau bagaimanapun, persefahaman pemain dan penyokong Harimau Malaya bersama Pan-gon ketika ini dilihat lebih ampuh.

Terdahulu, keputusan seri 3-3 yang dicatatkan semalam menyaksikan Korea Selatan muncul sekadar naib juara Kumpulan E dibelakang Bahrain.

Pasukan itu dijangka berdepan tugas sukar apabila dijadualkan bertemu dengan salah satu pasukan pilihan, Arab Saudi di peringkat 16 terbaik.

Sumber: Sinar Harian

The post “Pecat Klinsman,” Peminat Korea Selatan Mahu Kim Pan-gon Jadi Pengganti appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*