KDN Warta Perintah Larangan Penerbitan Buku “When I Was A Kid 3”

kdn buku when i was kid 3

KDN Warta Perintah Larangan Penerbitan Buku “When I Was A Kid 3”

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) — Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan Perintah Larangan terhadap penerbitan sebuah buku yang bertajuk “When I Was A Kid 3” oleh Cheeming Boey melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 283 bertarikh 25 Sept 2023.

KDN menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pewartaan Perintah Larangan itu adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan itu adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

“Kerajaan ingin menyatakan komitmen yang berterusan dalam melaksanakan tindakan kawal selia penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman dan gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan yang boleh mengancam keharmonian dan perpaduan nasional demi kesejahteraan bersama.

“Dalam hal ini, hasil penerbitan tersebut dikenakan tindakan Perintah Larangan kerana ianya merupakan hasil penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan moral, kepentingan awam dan kepentingan negara dengan menimbulkan kebimbangan dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual dan mengedar boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

BACA: KDN Pertimbang Kelulusan Lebih 9,000 Permohonan Kewarganegaraan 

“KDN sekali lagi ingin menyatakan komitmen dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan bagi membanteras penyebaran elemen, fahaman dan gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan dari semasa ke semasa secara berterusan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” menurut kenyataan itu.

KDN sebelum ini memaklumkan buku berkenaan mengandungi bahan yang berkemungkinan memberi prejudis kepada moral.

Buku itu ditulis pada 2014 oleh penulis Malaysia yang lahir di Singapura dikenali sebagai Cheeming Boey, 45, yang kini menetap di Amerika Syarikat itu menceritakan mengenai zaman kanak-kanaknya.

Jun lepas beberapa rakyat Indonesia diketuai badan bukan kerajaan (NGO) Corong Rakyat mengadakan bantahan di luar Kedutaan Malaysia di Jakarta terhadap penerbitan buku itu kerana mendakwa satu daripada petikan dalam buku terbabit menceritakan mengenai seorang pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja di Malaysia dan dikritik secara tidak adil.

Sumber: BERNAMA

The post KDN Warta Perintah Larangan Penerbitan Buku “When I Was A Kid 3” appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*