Kecurian REE: Jangan buat kesimpulan awal, tuduhan melulu – Sanusi

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta orang ramai dan pihak tertentu tidak membuat kesimpulan awal serta tuduhan melulu mengenai dakwaan wujudnya kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Beliau berkata bahan yang didakwa dicuri masih dalam siasatan pihak berkaitan sama ada ia benar-benar REE atau sebaliknya.

Justeru, beliau berkata bukti mengaitkan 52 lelaki yang ditahan pada Rabu lepas dengan kecurian REE belum diperoleh dan adalah tidak wajar kerajaan negeri dituduh terlibat dalam isu itu.

“Di sini saya tak kata mereka tidak salah, salah atau tidak semua ini kena siasat,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan surat hak milik, lesen menduduki sementara, hak milik sambungan dan cukai tanah bagi daerah Pendang di sini hari ini.

Muhammad Sanusi mengulas laporan media berkaitan penahanan 52 individu oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah selepas mereka dipercayai melakukan kegiatan mengorek REE secara haram di hutan simpan itu membabitkan warga asing yang berselindung menggunakan kebenaran kerajaan negeri kepada sebuah syarikat usaha sama tempatan dan luar negara untuk melakukan kajian.

— BERNAMA

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*