Kedudukan Mahkamah Syariah Di Malaysia Kekal Utuh – Na’im

kedudukan mahkamah syariah

Kedudukan Mahkamah Syariah Di Malaysia Kekal Utuh – Na’im

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan bahawa kedudukan Mahkamah Syariah masih kekal utuh dengan jaminan kedudukannya sebagaimana dinyatakan jelas di dalam Perlembagaan.

Beliau menerusi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah berkata sedemikian susulan Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

“Sebagai tindakan segera, saya telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berusaha segera mendapatkan alasan penghakiman bertulis bagi kes ini untuk tujuan kajian dan perancangan selanjutnya.”

Menerusi kajian ini, beberapa perancangan lanjut akan dibuat segera bagi menjamin keberlangsungan Mahkamah Syariah dengan lebih baik pada masa yang akan datang.

“Beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras dengan keputusan kes ini.

“Segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah akan dilaksanakan,” katanya.

Na’im akan segera menghadap Majlis Raja-Raja Melayu

Dalam pada itu, Na’im memberitahu bahawa beliau akan segera memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong berkenaan keputusan mahkamah pada hari ini.

Bukan itu sahaja, beliau turut akan segera memohon menghadap Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Raja-Raja Melayu atas sebab yang sama.

“Saya juga akan segera memanggil semua pemegang taruh berkaitan, semua pihak yang terlibat dengan Mahkamah Syariah untuk kita sama-sama berbincang dan menilai langkah pemerkasaan seterusnya bagi Mahkamah Syariah.

“Jika terdapat keperluan melakukan apa-apa pindaan atau reformasi undang-undang, kita akan segera melakukannya,” katanya.

Dalam pada itu, satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Na’im, hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja.

Susulan itu, beliau menyeru orang ramai untuk tidak mencetuskan apa-apa provokasi sehingga mampu mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Semua pihak adalah diseru untuk bertenang serta tidak melakukan apa-apa provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan kepada umat Islam di Malaysia bahawa kewujudan Mahkamah Syariah tidak akan terancam.

BACA: Bila Akan Dapat Bayaran Pencen Jika Bersara Awal? Ini Jawapannya

Sumber: Dato’ Setia Dr. Naim via Facebook

The post Kedudukan Mahkamah Syariah Di Malaysia Kekal Utuh – Na’im appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*