Ini Kelebihan Starlink & Beza Berbanding Internet Kabel

starlink internet kabel

Ini Kelebihan Starlink & Beza Berbanding Internet Kabel

Baru-baru ini, kerajaan bercadang untuk memasang 40 peranti satelit Starlink di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini untuk menaik taraf kemudahan capaian internet dengan lebih luas dan pantas di kampus bagi memudahkan proses pembelajaran, memetik Bernama.

Perkara itu terhasil selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan pertemuan maya dengan Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc dan SpaceX Elon Musk. 

Keputusan untuk membeli peranti Starlink itu dibuat selepas Anwar mendengar rugutan mahasiswa daripada IPT berhubung dengan pencapaian internet perlahan di kampus mereka.

Selepas perbincangan bersama Musk, Anwar memaklumkan perkara itu kepada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, untuk membeli peranti Starlink dengan segera supaya dapat dipasang di IPT yang memerlukan.

Menerusi kerjasama itu, ia akan memberi ruang kepada kawasan luar bandar, sekolah dan universiti untuk mendapatkan capaian internet secara langsung yang murah.

Jadi, apa sebenarnya kelebihan Starlink ini berbanding dengan kabel? Ikuti maklumat di bawah ini.

Starlink: jaringan internet satelit

Kredit: SCMP

Untuk pengetahuan, Starlink pertama kali diumumkan pada Januari 2015 apabila pusat pembangunan satelit SpaceX di Redmond, Washington, dibuka.

Tetapi kemunculan kabel, yang menggunakan talian televisyen berbanding sambungan telefon untuk kononnya memberikan kelajuan Internet yang lebih baik datang selepas jalur lebar ADSL.

Jumlah jalur lebar yang boleh dibawa oleh wayar kabel adalah yang menentukan seberapa cepat perkhidmatan internet boleh berfungsi.

Kedua-dua penyedia perkhidmatan internet amat menekankan mengenai capaian pantas dan hebat. Pun begitu, mari lihat perbandingan Starlink dan kabel supaya lebih faham.

Perbezaan utama antara Starlink dan internet kabel

Prestasi

Dari segi prestasi Starlink tidak akan berfungsi dengan baik apabila cuaca buruk. Starlink menggunakan satelit di orbit Bumi rendah (LEO) untuk sambungan internet yang lebih pantas. Keadaan cuaca buruk menghalang setiap isyarat satelit.

Walaupun Starlink kurang bergantung kepada cuaca semasa tempoh hujan atau salji yang teruk, kelajuan internet masih akan berkurangan dan kualiti perkhidmatan akan merosot.

Manakala, kabel pula biasanya tidak terjejas oleh cuaca buruk. Tidak kira cuaca, pengguna akan sentiasa mempunyai akses kepada kelajuan internet yang sama.

Melainkan ia menyebabkan gangguan bekalan elektrik atau kerosakan pada kabel internet, salji, hujan atau ribut petir tidak memberi kesan kepada kelajuan capaian.

Pemasangan

Starlink tidak memerlukan seseorang yang mahir untuk memasangnya di rumah anda. Sebaliknya anda akan diberi kit perkakasan yang mengandungi alat pasang yang boleh dibuat sendiri.

Kadangkala cara pemasangannya adalah sukar memandangkan ia memerlukan langit cerah untuk peranti Starlink berfungsi. Disebabkan itu, peranti tersebut mungkin perlu diletakkan di atas tiang atau bumbung.

Sementara itu, kabel pula menghantar juruteknik bertauliah ke rumah atau tempat perniagaan untuk memasang peranti itu, selain bayaran tambahan caj pemasangan juga turut dikenakan (bagi sesetengah penyedia).

Sesetengah pengguna merasakan kabel adalah pilihan yang baik namun sebenarnya ia bergantung kepada pilihan masing-masing.

Kelajuan

Kabel menawarkan kelajuan internet yang lebih baik daripada Starlink di kebanyakan lokasi dengan julat antara 100 mbps dan 1 gbps.

Starlink juga menawarkan kelajuan pantas antara 50 mbps hingga 150 mbps, tetapi sejak beberapa tahun lalu, apabila semakin ramai orang semakin menggunakan rangkaian, kelajuannya telah menurun.

Pengguna Starlink telah melaporkan mengalami penurunan internet serendah 5 Mbps pada waktu puncak sebagai contoh 5 petang hingga 10 malam.

Kuasa

Starlink menggunakan lebih banyak tenaga daripada kabel. Ini kerana penggunaan kuasa yang banyak daripada modem dan satelit.

Ketersediaan 

Secara umumnya, faedah paling ketara bagi internet satelit adalah ia boleh diakses dari mana-mana sahaja, menjadikannya satu-satunya pilihan untuk akses internet di kawasan luar bandar. Dengan 30,000 satelit, Starlink ialah rangkaian internet terbesar dan paling mudah diakses pernah dibuat.

Walaupun perkhidmatan internet kabel adalah antara yang paling mudah diakses kerana keadaan yang sedia ada, sesetengah wilayah tidak membenarkan pemasangannya.

Dalam masa sama, tidak semua tempat berupaya menyediakan capaian rangkaian pantas internet atas faktor kekangan infrastruktur, lokasi, geografi, kos dan seumpamanya.

Oleh itu, atas sebab ini, Starlink lebih tersedia dan mudah diakses, tidak kira di mana anda berada–kawasan bandar atau luar bandar, sama.

Kesimpulan: Starlink dengan internet kabel mana lebih baik?

Meskipun jenisnya seakan sama, Starlink tidak sama dengan mana-mana internet satelit lain yang pernah manusia gunakan. Satelit rangkaian Starlink terletak hanya 300 batu di atas permukaan Bumi iaitu di lapisan Orbit Bumi Rendah (LEO).

Ia difahamkan beribu-ribu batu jauh lebih dekat berbanding satelit biasa yang mengorbit pada kedudukan kira-kira 22,000 batu di atas Bumi.

Selain itu, rangkaian Starlink dipercayai rangkaian satelit yang paling luas pernah dibina dengan angka semasa kira-kira 30,000 satelit di kedudukan orbit LEO.

Berbalik kepada ketersediaan, Starlink lebih sesuai digunakan di kawasan pedalaman, hutan, ceruk kampung atau mana-mana lokasi yang tidak ada capaian internet mahupun komunikasi.

Gambar hiasan | Kredit: Ars Technica

Sejajar dengan teknologinya, Starlink lebih mudah untuk dikendalikan serta dibawa ke mana-mana, membuatkan penggunaannya dianggap sebagai ‘tahan lasak’ dan lebih ‘survival’.

Dalam pada itu, internet kabel pula memiliki kelebihannya tersendiri. Disebabkan kebolehcapaiannya luas dan pantas, internet kabel ialah salah satu jenis ISP yang paling banyak digunakan hari ini.

Secara teknikalnya isyarat dihantar melalui wayar tembaga yang hanya digunakan untuk frekuensi internet. Data bergerak dengan pantas dari pelayar ISP ke komputer.

Beberapa faktor seperti banyak syarikat penyedia, lokasi, penggunaan tinggi, harga atau kos berpatutan, capaian senang dan mudah menyebabkan ia digunakan secara meluas di seluruh negara.

Kedua-dua ISP menawarkan internet berkelajuan tinggi yang boleh dipercayai. Kedua-duanya juga memiliki kelebihan tersendiri, di mana internet kabel ‘menang’ daripada segi kos dan efektiviti, manakala Starlink pula ‘menang’ daripada segi ketersediaan diakses di mana-mana.

Kesimpulannya, persoalan tentang antara internet satelit Starlink dengan internet kabel yang mana lebih baik, jawapannya adalah ia bergantung kepada tujuan penggunaan itu sendiri.

BACA: Starlink Milik Elon Musk Rancang Sedia Internet Menerusi Satelit Di Malaysia

Senarai negara guna Starlink

Walau bagaimanapun, SpaceX terus mengembangkan perkhidmatan Starlink sejak ia keluar dari lewat tahun lepas.

Pada September 2021, penggunaan dan permintaan pelanggan bertambah di serata negara dan jumlah itu meningkat kepada 25 negara pada Februari 2022.

Selain Amerika Syarikat (US) senarai negara tempat Starlink tersedia pada masa ini termasuk sebahagian besar United Kingdom, Jerman, Perancis, Sepanyol, Itali.

Manakala, di luar Eropah, sebahagian Australia, Chile dan Brazil. Syarikat itu berkata ia akan melebarkan sayapnya kepada hampir seluruh Amerika Selatan, Afrika dan sebahagian Asia pada tahun 2023.

Untuk tahu lebih lanjut mengenai Starlink, tonton video penuh di bawah ini. Semoga dengan info yang diberi bermanfaat buat semua.

Sumber: History Computer, Mashable SE Asia, BERNAMA,

The post Ini Kelebihan Starlink & Beza Berbanding Internet Kabel appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*