Kenali “Ruhezeit”, Hari Sunyi Sepi Setiap Ahad Jadi Amalan Di Jerman

Hari Ahad Jerman

Kenali “Ruhezeit”, Hari Sunyi Sepi Setiap Ahad Jadi Amalan Di Jerman

Setiap negara di dunia ini pasti memiliki budaya yang unik dan berbeza-beza dengan negara yang lain.

Keunikan budaya ini biasanya adalah amalan sesebuah masyarakat yang diawarisi secara turun-termurun daripada generasi sebelumnya.

Dalam pada masa yang sama, keunikan budaya ini lama-kelamaan akan menjadi lambang dan identiti sesebuah negara di peringkat dunia.

Sebagai contoh, budaya unik di negara kita adalah berdasarkan kepelbagaian bangsa, etnik dan agama.

Namun begitu, masyarakat di negara kita masih mampu hidup harmoni dan bersatu padu.

Budaya unik juga boleh dilihat berlaku di negara-negara barat yang maju dan moden.

Salah satu negara tersebut ialah Jerman, di mana budaya hari Ahad yang sunyi sepi atau dikenali sebagai “Ruhezeit” telah diamalkan secara turun-temurun.

Untuk mengetahui tentang budaya unik di Jerman tersebut, mari kita ikuti perkongsian daripada seorang pengguna Facebook yang bernama Khairolizam Muhaidi ini.

Khairolizam merupakan rakyat Malaysia yang bekerja serta sudah lama menetap di Jerman atau lebih spesifiknya di bandar Hochheim di Hessen.

Beliau sering berkongsi info-info menarik berkenaan budaya orang Jerman di laman facebooknya sebelum ini.

Jom ikuti perkongsian beliau di bawah.

Budaya unik hari Ahad di Jerman

Tahukah anda pada hari Ahad di Jerman bahawa ada satu budaya unik dari lain-lain negara?

Ia adalah hari Ahad yang senyap sunyi ‘Ruhezeit’ (quiet time). Kenapa perlu senyap sunyi?

Undang-undang unik yang digubal pada tahun 1956 ini dikenali sebagai ‘Ladenschlussgesetz’ (Akta Penutupan Kedai) yang melarang sebarang kedai dari beroperasi pada hari Ahad.

Antara aktiviti yang dilarang dan diwartakan pada hari Ahad:-

1) Tidak boleh bising dengan anak-anak bermain.

2) Tidak boleh menggunakan mesin gerudi atau bunyi mesin potong rumput.

3) Tidak boleh terdengar bunyi bising mesin vakum atau paku memaku dalam rumah.

4) Tidak boleh kedengaran bunyi mesin basuh baju atau mesin pengering rambut.

5) Tiada pusat membeli-belah dan farmasi yang dibuka.

6) Tiada stesen pam minyak, muzium, taman kanak-kanak yang dibuka.

7) Tiada restoran yang dibuka kecuali kiosk sahaja.

8.) Tidak boleh membasuh kereta sekalipun.

9) Tidak boleh memasak dengan bau masakan yang menusuk hidung.- (No, No, No! – Ikan masin goreng pekasam, belacan bakar, ikan bilis, masakan bertumis dan sebagainya.)

10) Jika ada undang-undang ini engkar dan tidak dipatuhi, polis akan datang ke rumah dan memberi amaran.

Yang kurang bernasib baik, ada yang diheret ke mahkamah hanya kerana membuat aktiviti BBQ dan berkumpul beramai-ramai di luar rumah.

Satu-satunya yang dibenarkan beroperasi seperti biasa adalah pasaraya, farmasi dan stesen minyak yang berhampiran dengan lapangan terbang antarabangsa dan stesen keretapi utama.

Malahan setengah-setengah bandar kecil di Jerman, lampu isyarat juga tidak berfungsi. Senyap sunyi seperti bandar dilanggar garuda. Jerman benar-benar menjadi padang jarak padang terkukur!

Hari Ahad juga hari yang malang buat pelancong-pelancong yang pertama kali datang ke Jerman. Ini adalah kerana kebanyakan mereka tidak mengetahui akan wujudnya undang-undang unik ini.

Pelancong-pelancong ini akan kerugian masa satu hari di Jerman sebab istana-istana lama, muzium dan zoo ditutup sama sekali.

Tiada aktiviti yang dilakukan mereka melainkan hanya bersiar-siar di sekitar hotel penginapan mereka.

Bas juga tidak beroperasi di bandar-bandar kecil. Bagi mengelakkan dari terjadi demikian, mereka harus merancang percutian mereka sebelum datang ke Jerman.

Apa yang akan dilakukan oleh rakyat Jerman pada setiap hari Ahad?

Oleh kerana semua aktiviti dilarang pada hari Ahad, apakah yang dilakukan warga Jerman?

Majoritinya mereka akan ke gereja, menghabiskan masa bersama keluarga dan anak-anak, menziarahi datuk dan nenek mereka, bersiar-siar dan berkelah di taman-taman awam, berbasikal serta mengemas rumah (tentulah tanpa bunyi).

Unik sekali sebuah negara maju dengan kehebatan teknologi kejuruteraan, boleh mengkhususkan cuti sehari tanpa aktiviti dalam seminggu.

Adakah Malaysia bersedia untuk meniru cara dan budaya orang Jerman bercuti sehari dalam seminggu? Entahlah.

P/S Buat rakan-rakan maya walau di mana anda berada, kongsikan dan ceritakan di sini apa aktiviti bandar di tempat anda pada hari Ahad.

Dalam pada itu, menerusi perkongsian yang berbeza, Khairolizam turut menyambung penulisannya tentang hari Ahad di Jerman tersebut.

Menurutnya, kebanyakan rakyat Jerman akan meluangkan masa dan melakukan aktiviti bersama keluarga pada hari Ahad.

Lanjutan penulisan aku aktiviti hari Ahad di Jerman – Hari bersama keluarga.

Awal pagi tadi, aku telah ceritakan sedikit sebanyak budaya dan tradisi unik hari Ahad di Jerman. Di sini tak sama suasananya macam di Malaysia.

Hari Ahad di Jerman, hari yang amat tenang dan aman damai. Di Jerman, ianya adalah hari yang mati dari segala aktiviti harian yang memenatkan.

Kebanyakan orang Jerman bekerja keras membangunkan negara selama 6 hari seminggu.

Selanjutnya mereka mahukan rehat yang mencukupi dan tenang pada hari Ahad sebelum memulakan semula bekerja keras pada hari Isnin esoknya.

Ramai yang kata Jerman ini membosankan antara sebabnya hari Ahad segala kedai dan pasaraya tutup kecuali restoran atau kiosk.

Cara mudah adalah pada hari Sabtu sebelum hari Ahad, membeli-belah barangan keperluan perlu dipastikan mencukupi.

Jadi walaupun pada hari Ahad semua kedai dan pasaraya ditutup, banyak aktiviti bersama keluarga yang dapat dilakukan.

  1. Lepak.

Jalan atau berbasikal dan bentang sapra di taman, tasik dan melihat sekumpulan angsa swan di tepi sungai Rhein sambil makan, borak, baca buku dan main bersama anak-anak, rakan atau keluarga.

  1. Beramai-ramai naik keretapi.

Naik keretapi satu keluarga ke bandar berhampiran, masuk zoo, naik kereta kabel atau ke tempat-tempat menarik.

Universiti Frankfurt yang berusia 100 tahun lebih pun boleh jadi antara tempat yang menarik sebab pemandangannya sejuk mata memandang.

  1. Coffee, Tea or Me?

Bersantai di kedai aiskrim atau restoran sambil minum tea, coffee, makan kek atau puff atau aiskrim.

Teringat aku pada tahun 2014, semasa kami sekeluarga awal-awal sampai di Jerman, aku mengeluh, ‘Lecehnya susah nak beli barang sebab hari Ahad semua tutup’.

Sukar juga menyesuaikan diri dengan suasana serta persekitaran yang serba senyap dan sunyi. Lama kelamaan alah bisa tegal biasa.

Ini aku tekankan salah satu konsep warga Jerman mengekalkan dan merapatkan hubungan kekeluargaan mereka pada hari Ahad.

Salah satu tempat mereka yang mereka tuju ialah ke ‘Spielplatz’ (playground).

Tengok budak-budak ni dalam foto mak bapak mereka biarkan sahaja anak-anak dorang bermain pasir.

Hari Ahad Jerman
Facebook

Ada yang siap bawak bekas mainan yang biasa kita bawak ke tepi pantai tu. Comel dan leka kalau kita tengok sama.

Dan biasanya dekat area pasir ni, disediakan paip air untuk budak-budak ni campur dengan air. Sampai lecah playground ni.

Tengok macamni, terfikir tak kenapa mak bapa kita dulu tak kasi kita main pasir agaknya? Alasan yang aku ingat-ingat lupa takut berkudis atau kotor.

Budak-budak Jerman ni balik playground baju dan seluar bukan main comot lagi mesti kena sental seluar kalau cuci tapi apabila aku melihat reaksi mak bapak dorang relax, tengok dan perhati sahaja anak-anak dorang main pasir.

Taman permainan di sini memang terjaga. Susah betul nak jumpa yang rosak, padahal kadang-kadang nampak jugak remaja atau orang tua (macam aku) yang bermain buaian.

Walaupun ada yang bawa anjing dan kucing tak ada jumpa najis merata, apatah lagi dalam pasir. Nampaknya kucing-kucing kat Malaysia tu kenalah belajar toilet-trained kat Jerman.

Pegawai penguatkuasa akan lakukan rondaan

Di sini ada sahaja pegawai penguatkuasa perbandaran merayau-rayau menyaman pemilik anjing dan kucing jika binatang peliharaan mereka membuang najis merata-rata.

Dan paling aku suka, lihatlah keliling playground ni. Penuh pokok-pokok merimbun nan hijau. Bagus untuk alam sekitar kan? Udara pun bertiup nyaman dan bersih.

Inilah aktiviti kami sekeluarga kalau tiba hari Ahad. Bagus juga kedai dan pasaraya tutup sekurang-kurangnya kita boleh fokus pada keluarga kita. Berbual dengan anak-anak perihal hal dan persekolahan masing-masing.

Kalau hari biasa kekadang susah nak jumpa anak-anak sebab masing-masing penat bekerja. Ada ibubapa awal pagi dah keluar mencari rezeki dan pulang lewat malam ketika anak-anak dah tidur.

Anak-anak kita sekejap sahaja membesar, so mari kita gunakan masa yang ada untuk bersama dengan mereka.

Kesimpulannya orang Jerman ini mengutamakan keutuhan keluarga. Sebab itu mall, tempat hiburan mereka semua tutup supaya mereka banyak meluangkan masa bersama keluarga selepas Sunday mass di gereja.

Sila kongsikan apakah aktiviti bandar tempat tinggal anda pada hari Ahad? Bagaimana hari Ahad di Timur Tengah, di UK, di Aussie dan lain-lain? Adakah mati dari segala aktiviti harian?

Sekarang dah tahukan tentang fakta menarik ini, nanti jangan pula bila dah sampai ke Jerman anda buat bising pula pada setiap hari Ahad.

BACA: Bolehkah Bakteria Dalam Badan Pengaruhi Mood Seseorang? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Sumber: Facebook/Khairolizam Muhaidi

The post Kenali “Ruhezeit”, Hari Sunyi Sepi Setiap Ahad Jadi Amalan Di Jerman appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*