Kenali Tasik Baikal, Tasik Paling Dalam & Luas Di Dunia

Kenali Tasik Baikal, Tasik Paling Dalam & Luas Di Dunia

Setiap kali bercakap mengenai tempat-tempat menarik di dunia, kita pasti sering mendengar tentang beberapa tempat yang sudah dikenali dan sering dikunjungi oleh para pelancong.

Di dunia ini, terdapat pelbagai lagi tempat menarik yang dilihat sebagai underrated dan jarang dikunjungi oleh sebilangan pelancong disebabkan kekurangan promosi dan beberapa faktor yang lain.

Oleh itu, sayang jika kita mengabaikan tempat-tempat yang jarang didengari dan dilihat ini kerana setiap tempat mempunyai kecantikan dan keunikan alam semula jadi yang tersendiri.

Bagi pelancong yang menggemari suasana yang dihiasi dengan panorama indah dan nyaman, pasti mereka akan memilih tempat-tempat seperti pulau, tasik dan hutan untuk menenangkan diri.

Namun, adakah anda tahu mengenai kewujudan satu tasik yang dikelilingi kecantikan semula jadi dan dikenali sebagai tasik terdalam di dunia?

Ya, tasik tersebut terletak di wilayah selatan Siberia, Rusia dan ia merupakan tasik air tawar terbesar dan terdalam di dunia.

Nak tahu dengan lebih lanjut mengenai tasik paling dalam di dunia? Jom kita menerokai keunikan tasik tersebut di bawah ini.

Tasik Baikal

Tasik Baikal merupakan tasik air tawar terbesar dan terdalam di dunia, malah ia juga dikatakan sebagai tasik tertua di dunia kerana telah mencecah usia kira-kira 25 hingga 35 juta tahun.

Kredit: Pixabay

Menurut Jennifer Castner dari organisasi program Rusia, Pacific Environment, Tasik Baikal boleh menempatkan kira-kira 1,700 hingga 1,800 spesies tumbuhan dan haiwan endemik.

Bukan itu sahaja, ia juga dikatakan mampu menampung 20 peratus air tawar di dunia disebabkan kedalaman tasik tersebut.

Pun begitu, pada tahun 1996, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengisytiharkan tasik tersebut sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang bertujuan untuk memelihara dan menjaga kawasan tersebut dari sebarang ancaman luar.

Menurut portal Big Asia, sebelum wabak coronavirus melanda seluruh dunia, aliran pelancong di Tasik Baikal telah meningkat setiap tahun dan pernah mencecah sehingga 1.8 juta orang pada tahun 2019.

Sejarah Tasik Baikal

Tasik Baikal pada asalnya dikatakan terbentuk dari dasar sungai, namun gegaran dan keretakan yang berlaku di kerak Bumi telah meningkatkan saiz tasik tersebut sekali gus meluaskan ruang antara pantai di kawasan tersebut.

Sebahagian daripada lembangan Tasik Baikal dipercayai telah berkembang pada masa yang berbeza sepanjang tempoh 66 juta hingga 2.6 juta tahun dahulu.

Disebabkan Tasik Baikal terletak di kawasan retakan, sebanyak kira-kira 2,000 gegaran gempa bumi telah dikesan pada setiap tahun.

Kredit: Pixabay

Gempa bumi yang berlaku tersebut telah menyebabkan tasik berkenaan menjadi semakin dalam sehingga menyebabkan terciptanya Teluk Proval pada tahun 1862.

Lokasi Tasik Baikal

Tasik Baikal terletak di bahagian selatan Siberia Timur dan terletak bersempadan dengan wilayah Irkutsk dan Republik Buryatia di negara Rusia.

Malah, ia juga dikatakan mempunyai bentuk seakan-akan bulan sabit yang memanjang.

Walaupun ia berada di selatan Siberia, namun tanah di sekitar Tasik Baikal dikatakan lebih panas daripada kawasan lain kerana permukaan air tasik yang besar dipercayai mempunyai daya yang lebih sederhana.

Tasik itu juga memainkan peranan yang besar bagi sejarah negara Rusia kerana ia mewakili keindahan Rusia yang belum tercemar dan kadangkala ia juga disebut sebagai Laut Suci.

Kredit: Pixabay

Selain menjadi sejarah bagi negara Rusia, ia juga turut diceritakan dalam kebanyakan mitos dan kisah yang diceritakan oleh seluruh rakyat Rusia.

Kedudukan Geografi Tasik Baikal

Lembangan tasik itu terletak di lekukan asal glasier dan dikelilingi oleh puncak tinggi banjaran gunung serta bukit yang diliputi hutan tebal.

Ahli geologi berpendapat bahawa Tasik Baikal kini telah menunjukkan rupa pantai Amerika Utara, Afrika dan Eropah ketika ia mula terpisah berjuta-juta tahun dahulu.

Dikatakan mempunyai kedalaman kira-kira lebih 1637 meter dengan satu lagi lapisan sedimen setebal empat batu lebih jauh ke bawah, air tasik yang sejuk dan kaya dengan oksigen itu dipercayai turut dipenuhi dengan hidupan yang jarang dijumpai.

Kredit: Pixabay

Salah satu hidupan yang dijumpai ialah golomyanka iaitu ikan berwarna merah jambu dan merupakan makanan kegemaran anjing laut.

Walaupun dikelilingi gunung bersalji, Tasik Baikal masih menawarkan pemandangan yang indah. Malah, gunung-ganang di sekitar tasik itu telah menjadi tempat perlindungan bagi haiwan-haiwan liar di kawasan itu.

Kredit: Pixabay

Ciri-ciri Tasik Baikal

Tasik Baikal mempunyai sekitar 27 pulau yang kebanyakannya tidak berpenghuni dan pulau yang terbesar dikenali sebagai Pulau Olkhon di mana terdapat sebuah perkampungan yang menempatkan kira-kira 1,500 penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan.

Walaupun terdapat lebih daripada 300 anak sungai yang dipercayai mengalir ke Tasik Baikal, namun Sungai Angara merupakan satu-satunya saluran keluar bagi Tasik Baikal.

Ia kemudiannya membawa kira-kira 60 kilometer padu (15.8 gelen air) setahun ke dalam Sungai Yenisei sebelum menuju ke Lautan Artik.

Difahamkan, Sungai Selenga merupakan sumber air terbesar yang masuk ke dalam Tasik Baikal. Ia dipercayai mengalir ke utara dari Mongolia dan telah menyumbang hampir 50 peratus air ke dalam tasik tersebut.

Kredit: Pixabay

Tasik Baikal turut dianggap sebagai salah satu tasik yang paling jernih di dunia. Apabila tasik itu dipenuhi dengan cairan ais dari pergunungan Siberia ketika musim panas, kejernihan air tersebut boleh dilihat sehingga lebih daripada 130 kaki (39 meter) ke bawah.

Kejernihan itu merupakan hasil daripada ketulenan cairan ais, plankton yang memakan serpihan terapung dan kekurangan garam mineral dari dalam tasik tersebut.

Walaupun Tasik Baikal dikatakan bakal menjadi lebih panas daripada bahagian lain di Siberia, namun suhu tersebut masih kekal sejuk sewaktu musim sejuk. Purata suhu udara pada musim sejuk adalah -21 darjah Celcius.

Tasik itu dipercayai akan membeku pada musim sejuk dan kebiasaannya akan cair sekitar bulan Mei atau Jun. Ketebalan ais juga boleh mencecah sehingga 2 meter.

Kredit: Pixabay

Pada musim panas pula, purata suhu udara dikatakan mencecah kira-kira 11 darjah Celcius manakala suhu air pada bulan Ogos pula dikatakan mencecah sekitar 10 darjah Celcius.

Ekosistem Tasik Baikal

Menurut Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO, Tasik Baikal kadangkala dipanggil sebagai Galapagos of Russia kerana mempunyai biodiversiti yang luar biasa.

Kira-kira 80 peratus daripada lebih 3,700 spesies yang ditemui di Tasik Baikal adalah spesies endemik iaitu spesies yang hanya boleh ditemui di Tasik Baikal.

Antara haiwan yang boleh ditemui di tasik tersebut adalah nerpa, iaitu satu-satunya spesies anjing laut air tawar yang istimewa di dunia.

Walaupun para saintis tidak mengetahui cara haiwan tersebut datang ke Tasik Baikal, namun mereka mengesyaki bahawa spesies anjing laut itu telah berenang ke sungai prasejarah dari Lautan Artik.

Selain itu, spesies lain yang boleh ditemui di tasik tersebut adalah seperti beruang, rusa kutub, babi hutan, rusa roe Siberia, musang ermin, sable dan serigala.

Kredit: Pixabay

Bukan itu sahaja, terdapat berpuluh jenis pokok yang tumbuh di kawasan Tasik Baikal seperti pokok cedar, cemara dan pokok pain Angara. Malah, beberapa pokok di tasik itu juga dianggarkan telah mencecah kira-kira 800 tahun.

Sumber: Lake Baikal, Live Science, Big Asia, Amusing Planet

The post Kenali Tasik Baikal, Tasik Paling Dalam & Luas Di Dunia appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*