KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) akan melakukan bedah siasat bagi mengenalpasti kelemahan yang ada dalam pasukan pada final Piala FA sebagai persiapan untuk menghadapi saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dijadual bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon menegaskan bedah siasat itu bukanlah perkara yang istimewa memandangkan mereka sering mengambil langkah sama dalam setiap perlawanan yang diharungi supaya dapat memperbaiki kelemahan bagi aksi seterusnya.
Namun Johan mengakui pertembungan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sememangnya mendedahkan mereka dengan kelemahan dan untuk itu, ia perlu diperbaiki dalam misi mereka memberi cabaran pada saingan pentas Asia nanti.
“Kami memang selalu melakukan ‘post-mortem’ dalam setiap perlawanan kerana kami mengganggap setiap perlawanan sama penting. Tetapi apabila kami bermain dengan pasukan berkualiti tinggi seperti JDT, kita nampak beberapa kelemahan yang kita tidak nampak apabila bertemu pasukan lain.
“Jadi perkara ini perlu dititikberatkan dan kita akan cuba perbaikinya. Ini satu pelajaran kerana kebarangkalian untuk kita bertemu pasukan lebih kurang seperti JDT di ACL2 nanti.
sumber: BH
“Keputusan mungkin tidak memberangsangkan tetapi sudah tentu, kita akan adakan bedah siasat cuma memang kita selalu lakukan, bukan hanya untuk perlawanan ini (final Piala FA),” kata Johan.
Sebagai rekod, skuad bimbingan Nidzam Jamil diundi dalam Kumpulan H bersama wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors; wakil Thailand, Muangthong United dan kelab dari Filipina, Cebu FC.
Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan 16 terbaik.