Kenapa Langit Dari Bumi Warna Biru, Tetapi Dari Bulan Nampak Gelap?

Kenapa Langit Dari Bumi

Kenapa Langit Dari Bumi Warna Biru, Tetapi Dari Bulan Nampak Gelap?

Dalam hidup ini, mesti kita ada banyak pertanyaan tentang fenomena alam, kan? Misalnya, apabila mendongak ke langit, kita tertanya berapa banyak bintang ada di angkasa?

Ketika mandi di laut pula, mungkin terfikir berapa isipadu lautan atau kedalaman maksimum lautan?

Selain itu, pernah tak anda terfikir mengapa langit dari Bumi kelihatan berwarna biru, manakala langit di Bulan, melalui video-video yang kita lihat, bewarna gelap?

Ada tanggapan yang mengatakan langit berwarna biru kerana pantulan air laut, namun perkara itu tidak benar.

Langit berwarna biru merupakan proses ‘penyebaran’

Kredit: scienceabc

Sebenarnya, langit kelihatan biru dari Bumi kerana atmosfera dan satu proses alam yang dikenali sebagai penyerakan.

Apabila cahaya putih melalui atmosfera kita, molekul udara yang kecil menyebabkan cahaya itu ‘berserak’.

Penyerakan yang disebabkan oleh molekul udara kecil ini (dikenali sebagai penyerakan Rayleigh), meningkat apabila panjang gelombang cahaya berkurangan.

Cahaya ungu dan biru diketahui mempunyai panjang gelombang terpendek dan cahaya merah pula mempunyai panjang gelombang terpanjang.

Jadi, cahaya biru lebih terserak berbanding cahaya merah menjadikan langit kelihatan biru pada siang hari.

Apabila kedudukan Matahari rendah di langit ketika matahari terbit dan terbenam, cahaya perlu bergerak lebih jauh merentasi atmosfera Bumi.

Kita tidak dapat melihat cahaya biru kerana cahaya itu terserak jauh, manakala cahaya merah pula tidak berserakan sangat. Keadaan itu menyebabkan langit kelihatan merah.

Keadaan langit di Bulan yang gelap

Atmosfera di planet-planet lain pula berbeza dengan atmosfera di Bumi, menjadikan langit di sana juga kelihatan berlainan. Situasi yang sama juga berlaku di Bulan.

Menurut Royal Museums Greenwich, jika anda berdiri di Bulan, langit akan kelihatan tidak mempunyai sebarang warna kecuali hitam.

Atmosfera di Bulan sangat nipis sehingga seakan-akan tiada langsung. Apabila udara terlalu nipis untuk molekul gas berlanggar antara satu sama lain, keadaan itu dipanggil sebagai ‘Eksosfera’.

Disebabkan kekurangan atmosfera, cahaya matahari tidak akan diserakkan, jadi tidak kira sama ada siang atau malam, langit di Bulan kelihatan hitam.

Pernah tak anda terfikir bagaimana keadaan langit di planet lain?

Atmosfera Marikh juga jauh lebih nipis daripada Bumi (kurang daripada satu peratus).

Ketumpatan molekul udara yang rendah bermakna penyerakan Rayleigh yang menyebabkan langit kita menjadi biru di Bumi mempunyai kesan yang sangat kecil di Marikh.

Kita mungkin mengagak langit di Marikh akan kelihatan biru pudar, namun keadaan itu tidak berlaku kerana jerebu atau debu yang sentiasa berterbangan di planet itu.

Partikel debu yang lebih besar akan menyerap cahaya biru yang panjang gelombangnya lebih pendek. Manakala cahaya-cahaya lain yang panjang gelombangnya lebih panjang akan berserak.

Situasi itu menyebabkan langit di Marikh kelihatan kuning kemerahan atau seakan-akan warna butterscotch hue.

Kredit: Royal Museums Greenwich

BACA: Bukan Puncak Everest, Rupanya Ini Lokasi Paling Dekat Dengan Angkasa Lepas

Sumber: Royal Museums Greenwich

The post Kenapa Langit Dari Bumi Warna Biru, Tetapi Dari Bulan Nampak Gelap? appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*