Kerajaan Setuju Tidak Teruskan Pembinaan Lapangan Terbang Tioman Baharu 

lapangan terbang baharu pulau tioman

Kerajaan Setuju Tidak Teruskan Pembinaan Lapangan Terbang Tioman Baharu 

DESAS-DESUS mengenai status pembinaan lapangan terbang baharu di Pulau Tioman, Pahang akhirnya terjawab apabila kerajaan telah bersetuju untuk tidak meneruskan projek tersebut.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menerusi menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pembatalan projek yang melibatkan 76 peratus kawasan tambakan laut itu adalah disebabkan faktor impak alam sekitar.

Jelasnya, pihaknya mengambil maklum segala kebimbangan yang telah disuarakan mengenai penebusan kawasan perlindungan marin yang bakal memusnahkan terumbu karang sebagai habitat penting pelbagai spesies hidupan laut.

Hal tersebut adalah kerana kawasan terumbu karang merupakan salah satu daya tarikan utama eko-pelancongan di pulau pelancongan berkenaan, selain beberapa faktor yang lain.

“Pulau Tioman yang diwartakan sebagai Taman Laut turut mempunyai hutan hujan masih asli, sekali gus mempunyai habitat pelbagai spesies hidupan liar dengan sebahagian daripada pulau itu ditetapkan sebagai rizab hidupan liar.

“Walaupun hasrat pembinaan lapangan terbang baharu adalah untuk menarik lebih ramai pelancong, pembinaan lapangan terbang baharu tersebut akan merosakkan tarikan semula jadi Pulau Tioman yang akan membawa kepada pelancongan yang tidak mampan,” katanya.

Dalam pada itu, penilaian keputusan pembinaan tersebut turut dibuat berdasarkan dapatan hasil proses pameran awal Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment, EIA).

EIA berkenaan adalah merujuk kepada laporan ‘Cadangan Pembangunan Sebuah Lapangan Terbang Baharu di Pulau Tioman untuk Operasi Penerbangan Kod 4C Yang Berkeluasan 460.50 Ekar, Tioman, Daerah Rompin, Pahang Darul Makmur’.

Difahamkan laporan EIA tersebut telah dipamerkan selama 30 hari bermula 21 Jun sehingga 20 Julai lalu.

Manakala ulasan awam pula dikemukakan oleh orang ramai selama 45 hari bermula 21 Jun sehingga 4 Ogos baru-baru ini, melibatkan 1,412 ulasan yang diterima.

“Susulan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal EIA (EIATRC) yang telah diadakan pada 9 Ogos 2023, kementerian mendapati bahawa cadangan Lapangan Terbang Baharu berpotensi untuk memberikan impak negatif yang sangat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya kepada penerima sensitif (sensitive receptor) di sekitar Pulau Tioman termasuklah ekologi marin sekiranya diteruskan,” tambah Nik Nazmi.

Sehubungan itu dalam kenyataan sama, Nik Nazmi menjelaskan bahawa keputusan pembatalan cadangan pembinaan tersebut adalah selari dengan misi kementerian yang mengutamakan pemeliharaan, pemuliharaan serta penggunaan sumber asli dan alam sekitar secara optimum dan bertanggungjawab.

“Keputusan ini juga secara tidak langsung mencerminkan usaha Kerajaan dalam mengimbangi kepesatan pembangunan dengan kelestarian alam sekitar demi mencapai kemampanan dan menjamin kesejahteraan negara,” katanya.

Sumber: kenyataan media Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar & Perubahan Iklim

The post Kerajaan Setuju Tidak Teruskan Pembinaan Lapangan Terbang Tioman Baharu  appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*