Kisah Eerah Peniaga Burger ‘Istimewa’: Tak Bagi Sesiapa Buat Sos Cili, Hanya Guna Resipi Arwah Ibu

eerah peniaga burger

Kisah Eerah Peniaga Burger ‘Istimewa’: Tak Bagi Sesiapa Buat Sos Cili, Hanya Guna Resipi Arwah Ibu

Walaupun tidak sempurna namun kegigihan seorang wanita kekurangan upaya (OKU) untuk menjadi seorang ahli perniagaan membuka mata masyarakat bahawa kejayaan itu tidak terbatas hanya kepada sesetengah orang.

Bak kata pepatah, kejayaan tidak akan datang bergolek tetapi perlu diusahakan. Ungkapan itu sesuai digambarkan pada situasi Jaheerah Nadzri, 29, yang tidak menjadikan kekurangannya sebagai halangan untuk memperoleh apa yang diingini.

Kegigihan Jaheerah atau lebih mesra disapa Eerah sememangnya memberi inspirasi kepada orang ramai untuk memulakan sesuatu yang baru di luar kemampuan.

Menerusi segmen Ini Kisah Aku, Eerah dan bapanya, Nadzri Abdul Majid mengambil peluang menceritakan tentang liku-liku kehidupan yang mereka tempuh selain perniagaan burgernya.

Mula minat berniaga kerana ibu bapa

Eerah yang juga merupakan peniaga Eerah Burger mula berkecimpung dalam bidang perniagaan selepas konsisten mengikuti ibu bapanya berniaga sejak kecil lagi.

Eerah menjana pendapatan melalui perniagaannya dan walaupun menghadapi masalah pembelajaran namun dia kini mahir dalam urusan jual beli.

Gambar: Siakap Keli

“Semasa saya berniaga dengan arwah isteri jual burger, Eerah pun ada ikut sekali. Mungkin dari situ dia ada kebolehan untuk meneruskan legasi perniagaan burger ini.

“Pada permulaan perniagaan, Eerah jual cupcake (kek cawan) pada usia 19 tahun. Namun selepas tidak mendapat sambutan, dia berputus asa dan mula menjual menu lain,” kata Nadzri kepada Siakap Keli.

Sebelum Eerah menjual nasi lemak yang merupakan perniagaannya yang ketiga, dia turut pernah berniaga cili boh. 

“Cili boh yang dijual pula banyak permintaan dari utara.

“Disebabkan ada kekangan pada penghantaran, Eerah pun sudah tidak menjual cili boh itu lagi. Kemudian dia meneruskan dengan menjual nasi lemak,” ujarnya.

Gambar: Siakap Keli

Eerah yang juga anak bongsu daripada empat beradik mengakui sememangnya seronok dapat berkecimpung dalam bidang perniagaan ini dan menurut ayahnya, Eerah Burger  adalah salah satu kejayaan yang dibanggakannya.

Menurut Eerah, antara perkara yang tidak akan dilupakan dan paling diingati berkaitan ibunya adalah apabila dia diajar cara untuk membuat cili boh. 

“Keistimewaan Eerah burger juga, dia yang buat sendiri sos cili mengikut ajaran ibunya. Eerah memang tidak bagi sesiapa dalam keluarga untuk buat sos tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Eerah juga aktif berniaga kuih cornflakes madu atas talian namun dia tidak dapat meneruskan perniagaan tersebut kerana ia hanya laku pada hari perayaan sahaja.

BACA: Pernah Dianggap “Scammer”, Mualaf OKU Tak Patah Semangat Berdikari Cari Rezeki Halal

“Kena yakin…”

Kesungguhan Eerah membuatkan Nadzri kagum kerana meskipun mempunyai kekurangan tetapi anaknya masih gigih mencari rezeki halal dan tidak mengharapkan belas kasihan orang semata-mata.

Eerah juga menjelaskan keyakinan dirinya juga membantu membuka peluang untuknya menjadi manusia yang lebih baik dan mencipta kandungan yang memberi inspirasi kepada orang ramai.

Ketika ditanya berkenaan dengan kemasyhuran yang diterima anaknya, lelaki berusia 66 tahun itu berkata dia sememangnya bersyukur dengan rezeki yang Allah S.W.T beri.

“Mulanya saya memang terkejut. Kalau ikutkan saya memang tak bagi dia buat akaun TikTok tetapi kerana abang-abangnya yakinkan saya yang platform itu juga boleh berniaga, saya bagi kebenaran.

“Alhamdulillah dengan keadaan sekarang, nak kata seronok itu tidaklah seronok sangat. Eerah seorang kanak-kanak istimewa, bila dapat sampai ke tahap macam ini, rasa bangga juga.

“Ibu Eerah meninggal semasa dia berusia 21 tahun pada 2018 jadi kerana dia sahaja anak perempuan tunggal saya memang beri perhatian penuh kepadanya,” tambahnya.

Pun begitu, Eerah juga tidak terkecuali menerima komen-komen yang negatif namun dia memilih untuk tidak melayan perkara sedemikian kerana tiada manfaat kepadanya.

“Cabaran terjadi semasa Eerah berniaga cornflakes madu di platform TikTok, di mana dia berdepan dengan pelbagai situasi yang tidak dijangka.

“Ada yang buat pesanan untuk beli cornflakes madu tetapi mereka tidak bayar dalam kuantiti yang banyak. Selepas minta untuk bayar, mereka tidak bayar.

“Sepanjang dia berniaga burger ini, alhamdulillah tiada lagi berlaku situasi seperti sebelum ini dan tiada yang mengambil kesempatan ke atasnya,” jelas Nadzri.

BACA: Kahwin Sehelai Sepinggang, Pasangan Anggap Berkat Ibu Punca Kopi Laku

Perlu terima kenyataan

Kata Nadzri, bagi ibu bapa yang mempunyai anak persis Eerah, mereka perlu memberikan pendedahan tentang dunia luar dan membiarkan anak mereka belajar dengan sendiri seperti yang lain.

“Anak-anak istimewa ini juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Sebagai ibu bapa juga kita perlu memberi sokongan terhadap minat mereka.

“Yang penting, jangan malu ada anak-anak istimewa macam ini,” tambahnya.

Sekiranya anda mahu membeli Eerah Burger, sila singgah di gerainya yang terletak di Kota Warisan, Sepang yang dibuka pada 6 petang sehingga habis.

The post Kisah Eerah Peniaga Burger ‘Istimewa’: Tak Bagi Sesiapa Buat Sos Cili, Hanya Guna Resipi Arwah Ibu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*