KKR Salur RM135.8 Juta Kepada Negeri Sembilan Untuk Kerja Penyenggaraan

Seremban – Membawa semangat dan aspirasi Program MyJalan, Kementerian Kerja Raya (KKR) hadir mendengar sendiri permasalahan berkaitan infrastruktur jalan raya yang dihadapi di Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Delegasi kunjungan diketuai oleh YB Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, diiringi YB Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) YBhg Dato’ Zahrul Hakim Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) YBrs Tuan Mohd Sakeri Abdul Kadir dan juga pegawai-pegawai tertinggi KKR dan agensi.

Delegasi KKR telah disambut oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun dan pegawai tertinggi Kerajaan Negeri.

Hasil daripada sesi perbincangan, KKR telah bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM135.8 juta kepada Negeri Sembilan bagi pelaksanaan kerja penyenggaraan jalan, cerun, jambatan dan bangunan Gunasama Persekutuan untuk tahun 2024. Selain itu, KKR dan Jabatan Kerja Raya turut menzahirkan komitmen untuk melaksanakan sebanyak sembilan (9) buah projek pembangunan Jalan Persekutuan di Negeri Sembilan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 billion.

KKR juga telah bersetuju untuk mempertimbangkan dua cadangan permohonan tambahan yang dikemukakan oleh YAB Dato’ Seri Aminuddin melibatkan kerja-kerja pemasangan Smart Traffic Light di beberapa lokasi di Jalan Persekutuan di Negeri Sembilan.

Pemasangan Smart Traffic Light ini merupakan langkah proaktif KKR dalam memperkasa pelaksanaan inovasi berimpak tinggi dengan menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar atau Smart Traffic Light (STL). Pada tahun ini, KKR telah menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM30juta untuk pelaksanaan STL di 148 lokasi persimpangan Jalan Persekutuan seluruh negara.

KKR melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga dalam sesi rundingan bersama-sama agensi lain dan syarikat pencadang sedang merancang pelaksanaan tiga (3) buah projek Penswastaan Lebuhraya di Negeri Sembilan, termasuklah cadangan pembinaan Lebuhraya Paroi ke Senawang yang menjadi keutamaan kerajaan Negeri Sembilan.

YAB Dato’ Seri Aminuddin turut menyambut baik pelaksanaan Program MyJalan yang dilaksanakan oleh KKR. KKR berhasrat memperluaskan Program MyJalan ini ke seluruh Malaysia bagi merealisasikan impian dalam menjadikan jalan raya di Malaysia dalam kondisi terbaik menerusi kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan semua jabatan yang terlibat dalam sektor penyenggaraan dan berkaitan jalan raya di Malaysia.

The post KKR Salur RM135.8 Juta Kepada Negeri Sembilan Untuk Kerja Penyenggaraan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*