KPDN Tahan Suami Isteri Jual Pakaian Tidak Wujud Secara Dalam Talian

KPDN Suami Isteri Jual Pakaian

KPDN Tahan Suami Isteri Jual Pakaian Tidak Wujud Secara Dalam Talian

PUTRAJAYA, 15 Mei (Bernama) — Sepasang suami isteri ditahan di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Manjung, Perak pada 11 Mei lepas ekoran kegagalan membekalkan pakaian yang dijual secara dalam talian.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata pasangan warga tempatan berumur 40-an itu ditahan susulan siasatan ke atas aduan orang awam berhubung penjualan pakaian secara dalam talian sempena Hari Raya Aidilfitri yang tidak wujud.

Beliau berkata aduan dibuat ke atas syarikat yang beralamat di Sitiawan, Perak apabila pengadu telah membuat pembelian bagi sepasang baju kurung melalui tawaran iklan penjualan baju kurung di laman sosial Facebook.

“Namun setelah pembayaran dilakukan sehingga tempoh aduan ini dibuat, baju kurung yang dibeli tidak diterima oleh pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata berdasarkan rekod, KPDN telah menerima sejumlah 100 aduan dari seluruh negara berkaitan penipuan jualan yang dilakukan oleh individu berkenaan secara dalam talian.

BACA JUGA: Agong Tepuk Dahi Ditipu Lelaki Botak Pakai Topi, “Saya Kena Tipu Dah..”

Hasil siasatan lanjut, katanya mereka didapati telah menerima wang daripada pelanggan melalui akaun bank syarikat mereka membabitkan jumlah ratusan ribu ringgit sepanjang pengiklanan dalam Facebook.

Azman berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 [Akta 599] bagi siasatan menyeluruh ke atas pengiklanan dan transaksi kewangan.

Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 4, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613], katanya.

Akta 613 adalah berkaitan kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga peringkat pelucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penipuan penjualan secara dalam talian.

Menurut Azman, kedua-dua individu itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Manjung bagi permohonan reman selama empat hari bermula 12 Mei hingga hari ini.

Peralatan elektronik dengan nilai dianggarkan berjumlah RM8,700 turut disita.

Sumber: BERNAMA

The post KPDN Tahan Suami Isteri Jual Pakaian Tidak Wujud Secara Dalam Talian appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*