Kuil ditinggalkan kosong selepas semua sami disahkan positif dadah

Sebuah kuil Buddha di Thailand telah ditinggalkan kosong tanpa sami selepas kesemua mereka gagal melepasi ujian saringan dan disahkan positif dadah, menurut seorang pegawai tempatan, semalam.

Empat sami termasuk seorang ketua rahib di sebuah kuil di daerah Bung Sam Phan, wilayah Phetchabun, didapati positif dadah jenis methamphetamine pada Isnin, kata pegawai daerah, Boonlert Thinapthai kepada AFP.

Difahamkan, kesemua sami berkenaan telah dibawa ke klinik kesihatan untuk menjalani pemulihan dadah.

“Kuil itu kini tidak mempunyai sami dan penduduk kampung berhampiran bimbang mereka tidak boleh meneruskan sebarang aktiviti keagamaan (menyembah, menderma makanan kepada rahib sebagai perbuatan baik),” katanya.

Tambah Boonlert lagi, lebih ramai sami akan dihantar ke kuil berkenaan bagi membolehkan penduduk kampung mengamalkan kewajipan agama mereka.

Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah, Thailand adalah negara transit utama bagi pengedaran dadah jenis methamphetamine yang turut berleluasa di beberapa lokasi di Myanmar dan Laos.

Bahan terlarang itu juga dikesan dijual di tepi jalan di mana pil dijual kurang daripada 20 baht (RM2.54).

Sumber: AFP

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*