Langgar dua kereta, pandu lawan arus kerana terlepas simpang

ISKANDAR PUTERI: Gara-gara terlepas simpang ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), seorang pemandu melakukan aksi ‘gila’ apabila memandu menongkah arus menuju ke destinasi itu pada petang semalam.

Namun, tindakan tersebut menyebabkan dia melanggar dua buah kereta iaitu Mercedes Benz dan Nissan Almera yang berada di laluan paling kanan di Kilometer 5.5 Lebuh raya LinKedua, Gelang Patah, di sini.

Kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu menyebabkan pemandu kereta Mercedes Benz mengalami kecederaan di bahagian leher dan kaki.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori dalam perjalanan dari Kulai menghala ke Pelabuhan Tanjung Pelepas. 

Menurutnya, apabila sampai di kawasan R&R Gelang Patah menghala ke selatan, pemandu lori telah terlepas susur ke pelabuhan tersebut.

“Pemandu lori berusia 41 tahun itu mẹmbuat keputusan memandu melawan arus untuk masuk semula ke susur PTP.

“Lori dipandu di lorong paling kanan melawan arus dan bertembung dengan dua kereta yang berada di laluan tersebut. Pemandu Mercedes Benz yang cedera di bahagian leher dan kaki dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Walau bagaimanapun, pemandu Nissan Almera tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit yang didapati di bawah pengaruh alkohol telah ditahan pada pukul 4.40 petang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

The post Langgar dua kereta, pandu lawan arus kerana terlepas simpang appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*