Lebih 13,000 Kes Cerai Dalam Tempoh Empat Tahun Di Kedah

kes cerai kedah

Lebih 13,000 Kes Cerai Dalam Tempoh Empat Tahun Di Kedah

ALOR SETAR, 14 Mac (Bernama) –– Sebanyak 13,101 kes pendaftaran penceraian bagi pasangan beragama Islam dicatatkan di Kedah bagi tempoh empat tahun dari 2019 hingga 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Halimaton Saadiah Saad berkata kes tertinggi direkodkan pada 2019 iaitu 3,917 diikuti 2020 (3,353 kes), 2022 (3,245) dan 2021 dengan 2,586 kes.

“Sepanjang tempoh empat tahun ini, daerah Kuala Muda mencatatkan kes penceraian tertinggi iaitu sebanyak 2,585 kes diikuti Kota Setar (2,189 kes), Kubang Pasu (1,518 kes) dan Kulim dengan 1,501 kes.

“Bagi mengurangkan kes penceraian di Kedah, Program Raikan Cinta yang khusus telah dilaksanakan kepada pasangan yang menghadapi krisis rumah tangga selain membantu mengeratkan semula tautan kasih sayang antara suami dan isteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Halimaton Saadiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam berkata Program Raikan Cinta yang dilaksanakan kerajaan negeri itu bertujuan memberi pendedahan kepada pasangan tentang ilmu perkahwinan, keagamaan dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh suami dan isteri bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga.

BACA JUGA: Syamsul Yusof Dilapor Enggan Ceraikan Puteri Sarah

“Sambutan yang diterima menggalakkan dan ini menunjukkan bahawa matlamat program ini telah tercapai bagi membantu pasangan dalam membina keluarga yang sakinah, warahmah dan mawaddah,” katanya.

Halimaton Saadiah berkata Pejabat Pembangunan Wanita negeri turut mengadakan program advokasi bagi meningkatkan pengetahuan para wanita yang mengalami penceraian berkenaan hak-hak pembelaan dalam undang-undang.

“Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah melalui Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam turut menawarkan khidmat nasihat, sesi kauseling dan motivasi secara awal bagi membantu wanita yang terkesan dalam masalah penceraian,” katanya.

Sidang DUN Kedah bersambung esok.

Sumber: BERNAMA

The post Lebih 13,000 Kes Cerai Dalam Tempoh Empat Tahun Di Kedah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*