Lebuhraya WCE Seksyen 6 Dijangka Jimat Masa Perjalanan Dari 45 Minit Ke 15 Minit Dari Kapar Ke Assam Jawa (Ijok)

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini telah merasmikan pembukaan Seksyen 6, Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE). Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini melibatkan jajaran sepanjang 21.8 kilometer yang menghubungkan secara terus pengguna lebuh raya dari Kapar ke Assam Jawa, Selangor dibuka secara rasmi kepada pengguna lebuh raya bermula dari jam 12.01 pagi, 21 November 2023 (Selasa).

Pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan dari Kapar ke Assam Jawa (Ijok) yang akan mengambil masa hanya 15 minit sahaja berbanding 45 minit sebelum ini melalui laluan sedia ada. Pengurangan masa perjalanan selama 30 minit ini menjanjikan kemudahan dan keselesaan yang lebih baik kepada pengguna lebuh raya.

Selain itu, pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini akan memberi impak positif dalam merancakkan industri pelancongan tempatan. Destinasi pelancongan menarik seperti Bandar Warisan Batu Arang, Bukit Malawati, Sky Mirror, dan Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan misalnya, kini, boleh diakses dengan lebih mudah oleh pengunjung.  Ini akan dapat meningkatkan aktiviti pelancongan di kawasan itu serta mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan tempatan.

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga bakal mendapat manfaat daripada pembukaan lebuh raya ini yang sekaligus dapat merancakkan pertumbuhan sosio-ekonomi kepada komuniti setempat. Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini juga mempunyai sambungan secara terus dengan Lebuhraya LATAR yang menawarkan lebih kesalinghubungan antara rangkaian lebuh raya untuk kemudahan pengguna.

Empat seksyen pertama Lebuhraya WCE telah dibuka sebelum ini pada tahun 2019, melibatkan tiga seksyen di Negeri Perak iaitu Seksyen 8 (Hutan Melintang – Teluk Intan), Seksyen 9 (Lekir – Changkat Chermin) dan Seksyen 10 (Changkat Chermin – Beruas), manakala satu seksyen di Negeri Selangor iaitu Seksyen 5 (Bandar Bukit Raja Selatan – Bandar Bukit Raja Utara).

The post Lebuhraya WCE Seksyen 6 Dijangka Jimat Masa Perjalanan Dari 45 Minit Ke 15 Minit Dari Kapar Ke Assam Jawa (Ijok) appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*