Pendedahan Hanya Buktikan Tun Dr Mahathir Tidak Ikhlas Bekerjasama Dengan DAP – Loke

pendedahan mahathir dap

Pendedahan Hanya Buktikan Tun Dr Mahathir Tidak Ikhlas Bekerjasama Dengan DAP – Loke

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) — Pengakuan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau hanya mempergunakan DAP untuk menjatuhkan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2018, membuktikan bekas perdana menteri itu tidak pernah ikhlas bekerjasama dengan parti itu.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata perkara itu bertentangan dengan parti mereka, yang mahu bekerjasama dengan Dr Mahathir ketika itu bagi membawa pembaharuan kepada pentadbiran dan kemajuan Malaysia, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada Mei 2018.

Malah Loke memberitahu ketika itu, DAP juga telah berbincang secara panjang lebar dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH), untuk mendapatkan persetujuan mengenai kerjasama berkenaan.

“Kita juga ada bertanyakan pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih dalam penjara ketika itu, yang pada mulanya beliau agak keberatan untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir, tetapi akhirnya bersetuju kerana melihat ada keperluan dari segi strategi untuk menggabungkan pengaruh dan kuasa, bagi membawa pembentukan kerajaan baharu.

“…dan pada 2018 terbukti bahawa strategi itu membuahkan hasil kerana buat pertama kalinya Barisan Nasional ditewaskan. Cuma apa yang berlaku selepas pembentukan kerajaan baharu, kita kesali kerana ia tidak dapat mencapai objektif yang sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan simposium Keselamatan Wanita dalam Industri Transit dan Pengangkutan di Bandar Sunway hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Dr Mahathir dalam rakaman podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan semalam, yang mengakui dirinya hanya mempergunakan DAP dan menyedari DAP juga mempergunakannya untuk menjatuhkan Najib.

Pendedahan itu dibuat selepas Dr Mahathir ditanya oleh Shahril mengenai pendiriannya yang dilihat tidak konsisten dalam berurusan dengan DAP dan PAS, kerana ada ketikanya sering mengkritik dua parti berkenaan, tetapi pada ketika lain, boleh duduk bersama pimpinan parti terbabit.

BACA: Dr Mahathir Dan Dua Lagi Diarah Fail Pembelaan Sebelum 6 Okt

Mengenai gesaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar Akta Lompat Parti diteliti semula kerana wujud kelemahan, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata sepatutnya Bersatu meminda perlembagaan mereka.

Beliau berkata sebelum ini, kepimpinan Bersatu sendiri yang tidak bersetuju dengan cadangan (pindaan peruntukan akta), bahawa seseorang MP yang dipecat daripada parti perlu kosongkan kerusinya kerana mengganggap ia tindakan yang tidak adil.

“Tetapi, DAP ketika itu sudah melihat ada kelemahan, sebab itu kita mengambil langkah dalaman dengan meminda perlembagaan parti sendiri untuk memastikan sekiranya seseorang MP atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak lagi menjadi ahli parti, dia perlu menggosongkan kerusi.

“Jadi hari ini apa yang mereka (Bersatu) bantah sebelum ini telah memakan diri, kerana kalau empat orang itu (Ahli Parlimen) dari DAP, sudah pasti mereka akan hilang kerusi dan perlu dibuat pilihan raya kecil,” katanya sebagai merujuk tindakan empat Ahli Parlimen Bersatu yang menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri, sehingga membawa gesaan untuk menambah baik akta itu.

Empat pemimpin Bersatu yang menyokong secara terbuka Perdana Menteri ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Sumber: BERNAMA

The post Pendedahan Hanya Buktikan Tun Dr Mahathir Tidak Ikhlas Bekerjasama Dengan DAP – Loke appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*