Lima Syarikat Meterai Perjanjian SSA Dengan DNB

Lima Syarikat Meterai Perjanjian SSA Dengan DNB

Lima Syarikat Meterai Perjanjian SSA Dengan DNB

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) — Lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO) hari ini memeterai perjanjian langganan saham (SSA) untuk memegang ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB).

Ia melibatkan syarikat CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) menerusi Infranation Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd (Maxis), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Power International Bhd (YTL).

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata langkah seterusnya selepas pemeteraian perjanjian SSA itu adalah untuk syarikat berkenaan membantu DNB melengkapkan proses pelaksanaan 5G bagi mencapai 80 peratus.

“Setakat 31 Oktober kita telah mencapai 73 peratus liputan bagi kawasan berpenduduk, dan berbaki tujuh peratus lagi sehingga kita capai 80 peratus.

“Angka ini penting kerana setelah kita capai 80 peratus, kerajaan akan umum bahawa satu entiti baharu boleh diwujudkan dengan sejumlah daripada MNO akan kekal bersama DNB sebagai entiti A manakala sejumlah MNO yang lain akan mula beroperasi dan membangunkan rangkaian kedua 5G dibawah entiti B,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini menyasarkan liputan 5G bagi kawasan berpenduduk adalah 80 peratus, yang mampu dicapai menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu Fahmi memberi jaminan perkhidmatan 5G yang sedang digunakan rakyat pada masa ini tidak akan terganggu sama ada sepanjang proses melengkapkan capaian 80 peratus itu atau apabila entiti B diwujudkan dan rangkaian kedua dibangunkan.

Selain itu beliau berkata kesemua MNO telah bersetuju yang caj harga borong bagi 5G tidak akan bertambah dengan adanya rangkaian kedua.

“KKD (Kementerian Komunikasi dan Digital) dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia).. kita akan terus memantau pelaksanaan supaya tiada masalah berbangkit.

“Jawatankuasa khas yang ditubuhkan pada 9 Mei lepas untuk pelaksanaan 5G akan juga memantau dan menjemput semua pihak berbincang bagi memastikan dari segi pelaksanaan tidak berlaku apa-apa masalah yang tidak boleh diatasi bersama,” katanya.

Fahmi berkata tahap penerimagunaan bagi rangkaian 5G di Malaysia adalah 10.8 peratus setakat hujung Oktober lepas.

Sementara itu DNB dalam kenyataan memaklumkan pemeteraian SSA itu tertakluk kepada penilaian wajar (due diligence), dan akan membolehkan pihak MNO memiliki 70 peratus pegangan saham dalam DNB secara kolektif atau 14 peratus pegangan saham secara individu.

Katanya kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memiliki 30 peratus baki pegangan ekuiti dalam DNB dan pegangan Saham Khas.

“Setiap MNO yang memeterai perjanjian SSA ini akan menyuntik RM233 juta ke dalam DNB yang akan digunakan untuk memenuhi keperluan pembiayaan pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, kenyataan itu memaklumlan pemeteraian SSA itu juga merupakan pencapaian penting yang dicapai oleh Pasukan Petugas (Task Force) Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia, dengan pasukan itu dianggotai Kementerian Kewangan, KKD, MCMC, DNB dan MNO.

Setakat hujung Oktober lepas, DNB memaklumkan langganan perkhidmatan 5G di negara ini ialah 3.6 juta.

BACA: Mikroplastik: Sampah Kini Jadi Sebahagian Daripada Tubuh Kita

Sumber: Bernama

The post Lima Syarikat Meterai Perjanjian SSA Dengan DNB appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*