Steven Sim Arah Laksana Segera Dasar Gaji Progresif, Pastikan Pekerja Terima Gaji Bermaruah

Putrajaya, 21 Disember – Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong bakal memperkenalkan projek perintis Dasar Gaji Progresif bagi memastikan para pekerja menerima gaji yang lebih wajar.

Dalam satu kenyataan semalam, Steven berkata, Kementerian Sumber Manusia akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Ekonomi untuk menjayakan pelaksanaan projek ini bagi mengubah pasaran buruh negara.

“Berikutan pembentangan Kertas Putih Gaji Progresif di Parlimen, saya telah mengarahkan Kementerian untuk melaksanakan projek perintis Dasar Gaji Progresif dengan kadar segera sebagai usaha membolehkan para pekerja memperoleh gaji yang lebih bermaruah dan wajar,” katanya.

Projek ini merupakan antara teras penting yang ditekankan dalam Dasar Sumber Manusia Negara meliputi pengukuhan kebajikan, meningkatkan kemahiran dan menaikkan keberhasilan (produktiviti) pekerja.

“Kementerian akan merangka Dasar Sumber Manusia Negara yang julung sebagai panduan utama dalam usaha memperkukuhkan kebajikan, meningkatkan kemahiran dan menaikkan keberhasilan pekerja serta mempersiap pasaran buruh yang mampu menghadapi cabaran masa hadapan seperti perkembangan teknologi digital, agenda negara menua, ekonomi hijau, ketidakpadanan pekerjaan dan keperluan pekerjaan wajar (“decent work”) selaras dengan kerangka Ekonomi Madani,” ujar Steven.

Dalam pada itu, beliau juga telah mengarahkan HRD Corp untuk menghentikan projek “Skills Passport” yang telah tertangguh sebelum ini.

“Setelah membuat pertimbangan, saya telah mengarahkan HRD Corp untuk tidak meneruskan projek “Skills Passport”. Projek ini telah tertangguh lebih setahun dan Kementerian mendapati projek ini tidak lagi sesuai untuk pelaksanaan.”

YB Steven Sim, Menteri Sumber Manusia dan Timbalannya YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Hj Mohamad berkesempatan mengadakan sesi ramah mesra bersama warga kerja Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya.

Beliau turut melantik aktivis kesatuan sekerja, Chee Yeeh Ceeu sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas yang baru. Chee merupakan Ahli Majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) selain menjawat jawatan sebagai Bendahari Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank Malaysia (NUBE).

“Beliau adalah seorang aktivis gerakan buruh yang mempunyai 15 tahun pengalaman aktif dalam pergerakan kesatuan sekerja. Perlantikan ini membolehkan penglibatan yang lebih rapat kaum pekerja dalam pembuatan dasar di peringkat Kementerian,” jelas beliau.

“Pada minggu pertama ini, saya bersama rakan sekerja saya, Yang Berhormat Dato’ Sri Abdul Rahman, Timbalan Menteri Sumber Manusia, telah mengadakan sesi jelajah ke setiap jabatan dan agensi bagi memahami fungsi dan peranan dalam Kementerian.

“Kementerian Sumber Manusia akan tetap berpegang kepada prinsip integriti, ketelusan dan tatakelola yang baik berpandukan nilai-nilai Madani dalam setiap tindakan yang dibuat demi kebaikan kaum pekerja, rakyat secara amnya dan negara,” katanya.

“Saya merakamkan penghargaan kepada kakitangan Kementerian yang telah menyambut kehadiran kami dan memberikan taklimat. Bermula dari sini, Kementerian akan membuat perancangan untuk mengoptimumkan fungsi bagi setiap jabatan dan agensi.”

The post Steven Sim Arah Laksana Segera Dasar Gaji Progresif, Pastikan Pekerja Terima Gaji Bermaruah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*