Maguire, Onana Diamkan ‘Haters’ Mereka – Ozil

maguire onana

Maguire, Onana Diamkan ‘Haters’ Mereka – Ozil

BEKAS pemain Jerman, Mesut Ozil menyifatkan pertahanan Manchester United serta penjaga golnya, Harry Maguire dan Andre Onana berjaya mengunci mulut pengkritik mereka.

Ozil menyatakan sedemikian selepas United berjaya menundukkan FC Copenhagen 1-0 dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

“Maguire dan Onana memang layak – berjaya mendiamkan ‘haters’ mereka,” katanya ringkas dalam satu ciapan di laman X miliknya (dahulu dikenali sebagai Twitter).

Sebelum ini Maguire sering menjadi perhatian dunia akibat persembahannya yang agak mengecewakan lebih-lebih lagi ketika musim 2021/2022, biarpun bergelar sebagai kapten.

Dalam masa sama, Onana yang berhijrah dari gergasi Itali, Inter Milan awal musim ini sering merekodkan permainan kurang memuaskan apabila gawangnya kerap dibolosi pihak lawan sejak pra musim.

Tidak kurang juga kebanyakan peminat Red Devils turut sama membandingkan penjaga gol kebangsaan Cameroon itu dengan legenda kelab, David de Gea.

Walau bagaimanapun kemenangan sulung United dalam UCL awal pagi tadi akhirnya menamatkan semua tohmahan liar yang dihamburkan kepada kedua-dua pemain berkenaan.

Maguire & Onana wira United

Imbas kembali perlawanan, United berdepan situasi sukar apabila taktikal permainan yang dimainkan agak gagal menembusi pertahanan lawan.

Bagaimanapun kebuntuan anak buah Erik Ten Hag akhirnya menemui jalan keluar selepas Maguire muncul wira apabila berjaya menanduk kemas bola hasil hantaran lintang dari pemain tengah, Eriksen ke gawang lawan pada minit ke-72.

United kembali mendominasi permainan sehingga ke minit 90, namun kemenangan mereka diuji dengan kesilapan pemain tengah Scott McTominay yang mengasari pemain lawan di kotak penalti pada masa kecederaan.

McTominay yang sebelum ini menjadi penyelamat United ketika menang ke atas Brentford dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dua minggu lalu dilayangkan kad kuning dan akhirnya penalti diberikan kepada FC Copenhagen.

Situasi semakin tegang apabila pemain FC Copenhagen membuat sepakan penalti yang menjadi penentu keseluruhan perlawanan sama ada mampu mengikat kedudukan seri dengan United atau sebaliknya.

Walau bagaimanapun sepakan penalti tersebut berjaya ditepis kemas oleh Onana hanya beberapa saat sebelum wisel penamat ditiupkan, sekali gus melayakkan kemenangan ke atas United.

Untuk rekod, ia adalah kemenangan sulung skuad Erik Ten Hag selepas tewas dua kali dalam dua perlawanan UCL peringkat kumpulan sebelum ini, iaitu Bayern Munich 4-3 dan Galatasaray 3-2.

Kemenangan tersebut sangat penting buat United bagi memastikan kelab itu layak merebut peluang menduduki tempat teratas kumpulan agar ‘lulus’ ke peringkat 16 terbaik.

Dalam perlawanan lain, United bakal berdepan dengan ‘jiran’ mereka, Manchester City yang berkunjung ke Old Trafford pada 29 Oktober ini bagi saingan EPL minggu ke-10.

Berbalik kepada konteks, sebahagian peminat United turut mengatakan bahawa aksi cemerlang Maguire dan Onana sebenarnya akan diuji dalam pertemuan Manchester Derby berkenaan.

BACA JUGA: MU VS Sheffield: Harry Maguire Dinobat Pemain Terbaik Perlawanan

Sumber: X Mesut Ozil

The post Maguire, Onana Diamkan ‘Haters’ Mereka – Ozil appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*