Mahkamah: Ingkar vaksin, tentera gagal cabar tindakan TDM henti perkhidmatan

KUALA LUMPUR – Seorang bekas tentera berpangkat sarjan hari ini gagal dalam permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang memberhentikan perkhidmatannya selepas ingkar mengambil vaksin.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid, berkata mahkamah menolak permohonan itu selepas mendapati tindakan TDM mewajibkan vaksin terhadap anggotanya termasuk pemohon, Wan Ramli Wan Seman, adalah wajar dengan mengambil kira risiko jangkitan Covid-19 akibat persekitaran kerja.

“Pemohon mengetahui bahawa pekerjaannya adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan dalam Akta Angkatan Tentera 1972 dan sebagai anggota TDM, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mematuhi dan melaksanakan perintah yang diberikan kepadanya.

“Seorang anggota tentera mempunyai tanggungjawab untuk mengikut semua arahan bagi mengekalkan disiplin. Saya berpendapat tindakan responden menamatkan perkhidmatan pemohon selepas ingkar perintah mengambil vaksin adalah mengikut undang-undang,” kata hakim itu.

Justeru, hakim Ahmad Kamal menolak permohonan semakan kehakiman Wan Ramli untuk mencabar perintah pemberhentian itu tanpa sebarang perintah berhubung kos.

Wan Ramly diwakili peguam, Yasmeen Soh Sha-Nisse, manakala responden-responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan (SFC) mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), Ahmad Hanir Hambaly dan Liyana Muhammad Fuad.

Wan Ramli, 41, memfailkan permohonan semakan itu dengan menamakan Leftenan Kolonel Sharull Hesham Md Yasin, Leftenan Mohamad Azammunir Mohd Ashri; Panglima TDM, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, TDM dan kerajaan sebagai responden.

Wan Ramli memohon satu deklarasi surat pemberhentian bertarikh 4 Ogos tahun lalu tidak sah dan tiada kesan, selain memaklumkan sudah berkhidmat selama 19 tahun tanpa sebarang rekod disiplin.

Tarikh penamatan perkhidmatan asal pada 2 Januari 2023, bagaimanapun beliau mendakwa dipecat secara tidak terhormat pada 26 Ogos 2021 mengikut empat seksyen Akta Angkatan Tentera 1972.

Susulan pemberhentian itu, Wan Ramli berpendapat hak pencennya dinafikan mengikut Artikel 147 Perlembagaan Persekutuan menyebabkan beliau turut memohon kos dan relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 23 Ogos lalu, TDM mengesahkan seorang anggotanya diberhenti kerja kerana menolak pengambilan vaksin Covid-19.

TDM memaklumkan tindakan itu susulan setiap anggotanya wajib mengambil suntikan itu, terutama sebelum melaksanakan penugasan dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, ia terkecuali kepada anggota tergolong dalam kumpulan tidak layak untuk menerima vaksin. – KOSMO! ONLINE

The post Mahkamah: Ingkar vaksin, tentera gagal cabar tindakan TDM henti perkhidmatan appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*