Wanita UMNO mahu jawatan Presiden, Timbalan tidak dipertandingkan

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO menyokong cadangan supaya dua jawatan tertingi parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti selepas ini.

Ketuanya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, ia bagi memberi ruang kepada kedua-dua mereka memulih dan memperkasakan UMNO demi survival politik dan negara.

Jelas beliau, semua pihak perlu bersatu hati menerima keputusan kepimpinan dalam merancang strategi kerjasama politik antara parti dan istiqamah dalam perjuangan.

“Melihat kepada apa yang sedang berlaku di dalam parti ini dan situasi politik semasa, sudah tiba masanya untuk kita bersama-sama dengan kepimpinan yang ada.

“Bangkit bersama memulihkan kekuatan parti dan keyakinan rakyat serta membawa UMNO kembali ke landasan perjuangan yang hakiki,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan dasar pada Perhimpunan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, proses pemulihan UMNO dan BN perlu dilakukan mulai sekarang bagi memastikan kedua-duanya kembali bangkit.

Ujar beliau, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) wajar dijadikan iktibar untuk menilai kelemahan, memperbaiki dan merancang strategi yang lebih berkesan sekali gus meraih kepercayaan rakyat untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa negeri kelak.

“Kita perlu bersatu hati dalam usaha membina negara bangsa yang lebih utuh dan mapan, bukannya bertelagah sesama kita.

“Kita juga perlu mengambil langkah untuk memperbaiki imej parti supaya lebih diterima rakyat. Politik khidmat sahaja tidak lagi boleh menjamin kemenangan kepada calon yang bertanding,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

The post Wanita UMNO mahu jawatan Presiden, Timbalan tidak dipertandingkan appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*