Mancini Keluar Terowong Sebelum Tamat Sepakan Penalti

Mancini keluar terowong

Mancini Keluar Terowong Sebelum Tamat Sepakan Penalti

DOHA, 31 Jan (Bernama) — Ketua Jurulatih Arab Saudi Roberto Mancini meninggalkan padang sebelum tamat penentuan sepakan penalti yang menyaksikan skuad kendaliannya tewas 2-4 kepada Korea Selatan dalam perlawanan pusingan 16 Piala Asia 2023 di Stadium Education City di Al Rayyan, malam tadi (awal pagi ini waktu Malaysia).

Mancini dilihat berjalan keluar menerusi terowong sebelum penyerang Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee-chan tampil menyempurnakan sepakan untuk mengesahkan Korea Selatan slot ke suku akhir.

Penjaga gol Korea Selatan Jo Hyeon-woo menafikan dua rembatan pemain Arab Saudi yang diambil masing-masing oleh Sami Al-Naji dan Abdulrahman Ghareeb selepas Mohammed Kanno dan Saud Abdulhamid berjaya menyempurnakan dua sepakan penalti pasukan yang terkenal dengan julukan ‘Green Falcons’ itu.

“Saya mohon maaf, saya fikir ia sudah berakhir, saya tidak berniat untuk tidak menghormati sesiapa pun. Apabila anda kalah sepakan penalti (shootout) anda rasa sedih, namun inilah bola sepak.

“Kami harus menerimanya, saya berpuas hati dengan anak buah saya kerana mereka beraksi sangat baik menentang satu daripada pasukan terbaik dunia. Saya menghargai usaha semua pemain atas apa yang dilakukan, prestasi mereka semakin meningkat,” kata pengendali kelahiran Itali berusia 59 tahun itu selepas perlawanan.

BACA: Bolehkah Bakteria Dalam Badan Pengaruhi Mood Seseorang? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Juara tiga kali, Arab Saudi berada di ambang kemenangan apabila mendahului 1-0 sehingga penghujung perlawanan selepas Abdullah Radif yang dimasukkan menggantikan Saleh Al Shehri menjaringkan gol pada minit ke-46.

Bagaimanapun, Korea Selatan yang dibimbing Jurgen Klinsmann menyamakan kedudukan menerusi tandukan Cho Gue-sung pada minit kesembilan masa tambahan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum penentuan sepakan penalti.

Korea Selatan yang merupakan juara dua kali, akan bertemu juara 2015 Australia pada pentas suku akhir di Stadium Al Janoub, Jumaat ini.

Sumber: BERNAMA

The post Mancini Keluar Terowong Sebelum Tamat Sepakan Penalti appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*