Apa Hukum Mencorak, Cetak Ayat Al-Quran Pada Pakaian Untuk Dijual? Ini Jawapan Mufti

Pakaian Dengan Tulisan Ayat Al-Quran

Apa Hukum Mencorak, Cetak Ayat Al-Quran Pada Pakaian Untuk Dijual? Ini Jawapan Mufti

Pemilihan pakaian mampu menonjolkan identiti seseorang. Hal ini kerana, pakaian menjadi perkara pertama yang dipandang dan selalu menjadi garis ukur seseorang.

Seiring beredarnya zaman, pelbagai fesyen dan rekaan pakaian muncul setiap hari yang tentunya mempunyai tarikan tersendiri.

Tidak dinafikan, ada sesetengah penjual turut menggunakan ayat suci Al-Quran sebagai corak atau dicetak di atas pakaian yang hendak dijual.

Persoalannya, adakah tindakan berkenaan dibenarkan agama? Apakah hukumnya mencorakkan pakaian dengan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran?

Seorang individu tampil bertanya soalan tersebut kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Jom kita ikuti kupasan dan jawapan yang disediakan oleh pejabat berkenaan berkenaan isu ini.

Soalan:

Assalamualaikum Datuk, saya ada terjumpa iklan baju jualan baju tapi saya lihat design baju yang dijual itu bertulis ayat kursi yang tidak dicantum hurufnya.

Selain itu, titik dan baris pada ayat itu juga dihilangkan. Apakah pandangan Datuk dan asatizah berkenaan perbuatan sedemikian?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan:

Asal hukum bagi penulisan ayat al-Quran pada mana-mana barangan atau tempat adalah harus jika kesucian ayat al-Quran itu terpelihara.

Namun mencorak dan menghiasi pakaian dengan tulisan ayat al-Quran dibimbangi boleh membawa kepada penghinaan terhadap kalimah suci ini kerana ia terdedah kepada pakaian itu diletakkan atau digunakan untuk tujuan yang tidak sepatutnya.

Oleh yang demikian, membuat rekaan dan mencorak pakaian dengan tulisan ayat al-Quran adalah perlu dielakkan.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Ayat kursi merupakan sebahagian daripada petikan ayat Al-Quran yang merupakan kalamullah yang mulia serta menjadi tanggungjawab kepada umat Islam untuk memelihara dan menghormati kesuciannya.[1] 

Dalam penulisan al-Quran rasm Uthmani, ayat al-Quran ditulis lengkap dengan baris, titik dan wakaf serta ibtida’ bagi memelihara kemuliaan al-Quran dari sudut sifat, perkataan dan cara bacaannya yang tepat.

Hal ini seperti mana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi berkenaan hukum meletakkan baris dan titik dalam mushaf al-Quran:

ويستحب نقط المصحف وشكله فانه صيانة من اللحن فيه وتصحيفه

Maksudnya: “Digalakkan untuk meletakkan titik dan baris pada mushaf bagi mengelakkan kesilapan bacaan dan sebutan”

(Rujuk al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran: hlm 189)

Merujuk kenyataan di atas, jelaslah bahawa para ulama amat menitik beratkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan al-Quran demi menjaga kitab suci ini daripada sebarang unsur-unsur yang mencemarkan.

Oleh yang demikian, perbuatan menjadikan tulisan al-Quran sebagai corak pakaian baik dalam keadaan ayat yang lengkap atau dalam keadaan dibuang baris atau diceraikan huruf-huruf merupakan perbuatan yang mendedahkan ayat-ayat suci al-Quran kepada penghinaan.

Oleh itu, agama Islam melarang sebarang bentuk penghinaan terhadap ayat suci al-Quran termasuklah perbuatan mencorakkan ayat al-Quran pada pakaian.

Larangan ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmuk[2]:

وَأَجْمَعُوا على ان من ‌استخف ‌بالقرآن أو بشئ مِنْهُ أَوْ بِالْمُصْحَفِ أَوْ أَلْقَاهُ فِي قَاذُورَةٍ أو كذب بشئ مِمَّا جَاءَ بِهِ مِنْ حُكْمٍ أَوْ خَبَرٍ أَوْ نَفَى مَا أَثْبَتَهُ أَوْ أَثْبَتَ مَا نفاه أو شك في شئ مِنْ ذَلِكَ وَهُوَ عَالِمٌ بِهِ كَفَرَ

Maksudnya: “Para ulama bersepakat bahawa sesiapa yang merendah-rendahkan al-Quran atau apa sahaja yang terdapat di dalamnya, meletakkannya pada tempat yang kotor, mendustai dengan apa yang datang darinya sama ada hukum dan berita atau menafikan apa yang dibenarkan dengan membenarkan apa yang dinafikan serta meragui sesuatu daripadanya sedangkan dia tahu maka dia telah kafir.”

(Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab:2/170)

Merujuk kepada keterangan di atas, jelas bahawa terdapat larangan menghina al-Quran bahkan para ulama menghukumkan kafir bagi mereka yang sengaja menghina dan mempersendakan al-Quran.

Tambahan lagi, meletakkan tulisan al-Quran pada pakaian akan menyebabkan kalimah-kalimah suci ini terdedah kepada pekara yang boleh mencemarkan kesuciannya seperti dipakai oleh orang yang berhadas dan diletak atau dibawa pada tempat yang tidak sesuai. Hal ini bertentangan dengan firman Allah SWT:

لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci”

(Surah al-Waqiah 79)

Oleh yang demikian, ayat suci al-Quran yang atau lebih dikenali sebagai kalamullah mempunyai kemuliaannya tersendiri.

Justeru, menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim untuk memelihara ayat suci al-Quran daripada dicemari dengan unsur-unsur penghinaan.

Kesimpulan

Asal hukum bagi penulisan ayat al-Quran pada mana-mana barangan atau tempat adalah harus jika kesucian ayat al-Quran itu terpelihara.

Namun, mencorak dan menghiasi pakaian dengan tulisan ayat al-Quran dibimbangi boleh membawa kepada penghinaan terhadap kalimah suci ini.

Oleh yang demikian, hukum membuat rekaan dan mencorak pakaian dengan tulisan ayat al-Quran adalah perlu dielakkan.

Wallahu A’lam.

BACA: Podcast Berunsurkan Persundalan Haram? Ini Jawapan Mufti Wilayah

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

The post Apa Hukum Mencorak, Cetak Ayat Al-Quran Pada Pakaian Untuk Dijual? Ini Jawapan Mufti appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*