Mexico Ketatkan Larangan Merokok Di Tempat Awam

Mexico dilapor telah menguatkuasakan salah satu undang-undang anti-tembakau yang paling ketat di dunia dengan menggubal larangan sepenuhnya terhadap perbuatan merokok di tempat awam.

Memetik laporan BBC, langkah itu pernah diluluskan buat kali pertama pada tahun 2021 termasuk larangan pengiklanan tembakau.

Difahamkan, undang-undang larangan merokok di tempat awam turut terpakai di beberapa negara Amerika Latin yang lain.

Pun begitu, undang-undang yang dilakukan oleh Mexico dianggap sebagai undang-undang yang paling komprehensif dan teguh serta meluas di benua Amerika, malah ia merupakan salah satu undang-undang anti-merokok yang paling ketat di dunia.

Undang-undang sedia ada Mexico yang mula dikuatkuasakan pada 2008 telah mewujudkan ruang bebas asap rokok di restoran dan tempat kerja.

Namun, kini ia telah diperluaskan kepada larangan sepenuhnya di semua kawasan awam termasuk di taman, pantai, hotel, pejabat dan restoran.

Bukan itu sahaja, larangan sepenuhnya juga akan melibatkan pengiklanan, promosi dan penajaan produk tembakau sekaligus menyebabkan penjual tidak boleh meletakkan sebarang rokok di dalam kedai.

Selain rokok, vape dan e-rokok juga tertakluk kepada undang-undang baharu yang telah dikuatkuasakan oleh negara berkenaan.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Pan American turut mengalu-alukan langkah itu dan memuji kerajaan Mexico kerana telah melaksanakan larangan tersebut.

Malah, organisasi itu turut mengatakan bahawa penggunaan tembakau adalah satu-satunya punca kematian yang boleh dicegah di dunia.

Hampir sejuta kematian telah dicatatkan di Amerika pada setiap tahun melalui penggunaan tembakau secara langsung mahupun pendedahan kepada asap rokok.

Pun begitu, undang-undang baharu yang digubal oleh negara Mexico telah mengundang rasa kecewa dan disifatkan sebagai kejam bagi perokok di negara tersebut kerana mereka kini hanya dibenarkan merokok di rumah atau kediaman persendirian yang lain sahaja.

Sumber: BBC 

The post Mexico Ketatkan Larangan Merokok Di Tempat Awam appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*