MRSM Catat Keputusan Memberangsangkan, 5 Buah MRSM Terbaik Capai GPM Kurang 2.0

Seramai 7899 calon dari 55 buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh Malaysia telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022. Keputusan SPM 2022 bagi MRSM mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.485 dengan 100% calon layak menerima sijil peperiksaan tersebut.

Lima (5) buah MRSM terbaik ialah MRSM Kepala Batas, MRSM Langkawi, MRSM Tun Abdul Razak, MRSM Tun Ghafar Baba dan MRSM Johor Bahru dengan GPM kurang daripada 2.0. Selain itu, MRSM Alor Gajah, MRSM Pasir Tumboh, MRSM Sungai Besar, MRSM Taiping dan MRSM Kota Putra juga mencatatkan GPM kurang daripada 2.0. Sebanyak 24 buah MRSM berjaya mencapai KPI Gateway to Holistic Education 2021- 2025 Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) dengan memperoleh GPM kurang daripada 2.50.

Pencapaian SPM 2022 menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan bilangan calon yang memperoleh semua A+ adalah seramai 30 dan bilangan calon yang memperoleh semua A (A+, A dan A-) adalah seramai 953 orang berbanding 904 orang pada tahun 2021.

Terdapat peningkatan Gred Purata Subjek (GPS) bagi subjek teras Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Sejarah. Bagi subjek Bahasa Inggeris sebanyak 30 buah MRSM berjaya mencapai KPI BPM dengan peratusan pelajar yang memperoleh lebih daripada 81% Gred Kepujian Tertinggi (Gred B+).

MRSM Kuala Kubu Bharu mencatatkan 100% A bagi subjek Bahasa Inggeris manakala MRSM Gemencheh, MRSM Kepala Batas, MRSM Tun Dr. Ismail, MRSM Semporna dan MRSM Pasir Tumboh mencatatkan 100% A bagi subjek Pendidikan Islam. Bagi subjek teras Matematik, MRSM Tun Abdul Razak mencatatkan keputusan 100% A.

Di samping itu, pencapaian subjek STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) juga menunjukkan peningkatan GPS bagi subjek Fizik, Kimia, Biologi, Lukisan Kejuruteraan, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal dan Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Selain itu, subjek elektif seperti Prinsip Perakaunan dan Bahasa Arab juga menunjukkan peningkatan GPS. MRSM Kota Putra mencatatkan keputusan 100% A bagi subjek Bahasa Arab.

Berbekalkan kekuatan mental, fizikal, emosi dan semangat juang yang tinggi serta sokongan daripada pelbagai pihak, calon peperiksaan SPM 2022 telah menduduki peperiksaan dengan jayanya.

Komitmen pengurusan MARA dan MRSM serta semua warga guru memainkan peranan besar dalam kejayaan SPM 2022. Sinergi semua pihak dalam memastikan segala program yang disusun berjalan lancar adalah penyumbang utama kepada kejayaan cemerlang.

MARA akan terus komited untuk meningkatkan prestasi akademik calon-calon SPM tahun 2023 dan memperkasakan bidang Science, Technology, Engineering dan Mathematics (STEM).

The post MRSM Catat Keputusan Memberangsangkan, 5 Buah MRSM Terbaik Capai GPM Kurang 2.0 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*