MSN Muktamadkan Gaji & Imbuhan Baharu Untuk Jurulatih Kebangsaan

gaji jurulatih kebangsaan

MSN Muktamadkan Gaji & Imbuhan Baharu Untuk Jurulatih Kebangsaan

BUKIT JALIL, 6 Februari – Mesyuarat Lembaga Pengurusan Majlis Sukan  Negara (MSN) yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Yang  Berhormat Hannah Yeoh, hari ini meluluskan penyelarasan jumlah gaji  dan imbuhan baharu untuk Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK)  berkuatkuasa daripada 1 Januari 2024. 

Jurulatih sepenuh masa yang berkhidmat untuk Program Podium dan  Pelapis Kebangsaan akan menikmati kenaikan berdasarkan kepada  tahap kelayakan mengikut Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan  (SPKK) dan tempoh pengalaman dalam bidang kejurulatihan. 

Kenaikan itu menyaksikan jurulatih dengan Sijil SPKK Tahap 3 – kelayakan tertinggi yang diperakui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan  (AKK) – bakal menikmati kenaikan gaji daripada RM4,500.00 sebulan  kepada RM5,900.00 sebulan mengikut penyelarasan yang baru  diluluskan ini. 

Untuk menggalakkan lebih ramai bekas atlet negara menceburkan diri  dalam bidang kejurulatihan, imbuhan gaji tambahan diberi berdasarkan  tahap pencapaian terbaik ketika bergelar atlet. Sebagai contoh, bekas  atlet yang menjadi jurulatih sepenuh masa dan memiliki pencapaian  pingat di temasya Sukan Olimpik ataupun Sukan Paralimpik diberikan  imbuhan gaji tambahan RM3,500.00 sebulan manakala pencapaian  pingat di Kejohanan Dunia menerima imbuhan gaji tambahan sebanyak  RM3,000.00.

Elaun khas berjumlah RM600.00 juga diluluskan untuk semua jurulatih  Program Podium dan Pelapis Kebangsaan (kecuali jurulatih pinjaman  ataupun pelepasan oleh majikan) manakala elaun jurulatih separuh masa  turut dinaikkan berdasarkan kepada kelayakan SPKK masing-masing. 

Penyelarasan terhadap Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan ini  diluluskan sebagai penambahbaikan kepada kadar sedia ada dalam skim  yang kali terakhir disemak pada tahun 2014. 

The post MSN Muktamadkan Gaji & Imbuhan Baharu Untuk Jurulatih Kebangsaan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*