Musim Menuai Di Kedah Bantu Pulih Bekalan Beras Putih Di Pasaran

kedah bekalan beras putih

Musim Menuai Di Kedah Bantu Pulih Bekalan Beras Putih Di Pasaran

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) — Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin masalah kekurangan beras putih tempatan di pasaran domestik akan dapat dipulihkan susulan musim menuai di negeri Kedah telah bermula.

Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin, berkata musim tuaian padi di kawasan jelapang negeri Kedah boleh menjadi pemangkin kepada usaha dan intervensi kerajaan menampung kekurangan bekalan beras menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) yang sedang giat dilaksanakan.

“Selepas beberapa langkah intervensi yang dilaksanakan termasuk Program Khas BPT, kekurangan beras di pasaran domestik dijangka dapat dipulihkan ekoran musim menuai padi yang baru bermula di Kedah,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) peringkat kementerian itu di Dewan Negara hari ini.

Sebelum ini, Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu, dilapor berkata bekalan beras putih tempatan di pasaran dijangka kembali stabil dalam masa sebulan, susulan pelbagai langkah intervensi dan pemantauan berterusan dilakukan kerajaan termasuk pelaksanaan Program Khas BPT.

Progran Khas BPT yang dilaksanakan secara dua fasa bermula 8 Sept lalu menyaksikan pengilang diminta meningkatkan 20 peratus bekalan beras putih tempatan di pasaran bagi penyelesaian jangka pendek bekalan makanan ruji itu.

BACA JUGA: Jualan Rahmah Beras: Harga Beras Import Sekitar RM13 Hingga RM14 Bagi 5kg

Sementara itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata peranan Pusat Komuniti Desa (PKD) akan diperkasakan sebagai platform pengumpulan dan pemasaran produk-produk usahawan luar bandar melalui program PKD Mobile.

Beliau berkata program PKD Mobile yang akan dilancarkan tahun ini akan meringankan beban usahawan luar bandar supaya tidak perlu berjalan jauh untuk memasarkan produk mereka.

Setakat ini, terdapat sebanyak 191 PKD aktif di seluruh negara yang antara lain berfungsi sebagai pusat latihan komuniti, pusat aktiviti dan pemerkasaan wanita, pusat perkhidmatan setempat dan kesukarelawan.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, ketika menggulung perbahasan, memaklumkan sejumlah 175 atau 40 peratus daripada 436 klinik yang dirancang untuk dinaik taraf di seluruh negara tahun ini, berjaya disiapkan setakat Khamis lalu.

Projek naik taraf baki 261 klinik daif yang lain akan dilaksanakan dan dijangka dapat diselesaikan tahun ini juga, katanya.

Persidangan disambung esok.

Sumber: BERNAMA

The post Musim Menuai Di Kedah Bantu Pulih Bekalan Beras Putih Di Pasaran appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*