“Nak Tunjuk Makanan Dia Paling Sedap,” Mungkin Ramai Belum Tahu Hukum Tayang Juadah Sebelum Berbuka

Hidup di zaman digital ini, sebenarnya banyak cabaran yang perlu kita tempuhi, khususnya ketika menjalani ibadah puasa.

Antaranya, apabila dibuka sahaja media sosial, penuh timeline dengan gambar-gambar dan video-video perkongsian resepi juadah berbuka. Ada kalanya, terasa masyarakat kita seperti berlumba-lumba mahu tunjuk bahawa makanan berbuka siapa yang paling sedap, sampaikan setiap hari muat naik perkongsian tentang makanan.

Lebih parah, perkongsian itu dibuat pada waktu yang tidak sesuai. Misalnya pada siang hari, dimana umat Islam sepatutnya menahan diri dari makan dan minum serta perbuatan-perbuatan lain yang boleh membatalkan puasa.

Bagaimanapun, apakah agama membenarkan perkongsian tentang makanan saat kemuncak lapar orang berpuasa sedang menguasai perut orang yang berpuasa?

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perbuatan berkenaan bergantung kepada nawaitu atau niat seseorang.

Pertama, jika seseorang itu memuat naik makanan untuk dia berbuka dan amat mewah serta lazat dengan niat hendak menunjuk-nunjuk, maka jelaslah perbuatan tersebut adalah haram.

Ada banyak sebab kenapa perbuatan tersebut menjadi haram antaranya boleh melukakan perasaan orang miskin atau tidak berkemampuan apabila melihatnya. Selain itu, ia juga boleh mendorong kepada perbuatan tidak baik seperti mengkritik atau memuji secara melampau.

Malah, ia juga seolah-olah menggalakkan orang ramai untuk makan makanan apa yang lazat-lazat sehingga hilang perasaan takwa.

Tetapi, bagaimana jika perbuatan itu mempunyai tujuan yang lain, misalnya peniaga makanan yang mahu mempromosikan jualannya supaya orang lebih kenal?

Menurut Dr. Zulkifli lagi, jika seseorang itu berkongsi gambar makanan sebagai jualannya secara online atau walk-in, maka ia dibolehkan.

Menurut Dr. Zulkifli, sudah menjadi kebiasaan untuk peniaga memuat naik makanan di media sosial sebagai strategi untuk melariskan jualan, namun itu mestilah menjadi hakikat sebenar.

Sekiranya mana-mana peniaga hanya ‘menyalin’ gambar yang cantik-cantik tentang makanan, sedangkan makanan yang dijual tidak seperti itu, maka disini timbul unsur gharar ataupun penipuan.

‘’Justeru, kami katakan apa-apa pun posting yang dibuat yang terkait dengan makanan bergantung kepada niat dan tujuan masing-masing. Yang penting selamat daripada sebarang bentuk riyak, ujub, takabbur atau pun sombong,’’ katanya.

Let’s Talk Content Bincangkan Topik Ini

Isu ini juga turut dibincangkan dalam Let’s Talk Content anjuran Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bersama ZAYAN melalui laman facebooknya baru-baru ini.

Forum bertajuk “Isu-Isu Agama Viral: Menyangkal Yang Dangkal” itu dihoskan oleh Amin Idris dan menampilkan panel jemputan yang dibarisi oleh Damian Mikhail, Faizal Ismail dan Ustazah Suriani.

Menurut Faizal Ismail, ada pendapat yang mengatakan perbuatan berkongsi gambar atau video makanan ini bergantung kepada niat.

“Ada pendapat mengatakan jika peniaga untuk mempromosikan makanan yang dijual, tiada masalah. Bergantung juga kepada niat. Jika niat untuk membuat orang terliur, tidak boleh, ia boleh jatuh kepada dosa,” katanya.

Manakala Ustazah Suriani juga berkongsi pandangan yang sama.

“Berdasarkan hadis nabi, “Sesungguhnya segala apa yang kita buat bergantung kepada niat”. Pengalaman berdepan para asnaf, apa yang dijual hari ini, belum tentu boleh support modal.

“Antara cara marketing, mereka terpaksa pamerkan pada media sosial supaya boleh orang kenal jualan. Dari sudut hukum, tidak haram jika sengaja mahu menunjuk-nunjuk. Cuma dari segi adab dan akhlak.

“Bila ada adab dan akhlak, kita akan menghormati perasaan orang lain. Bayangkan kalau kita bau makanan jiran kita masak tapi kita tak boleh nak makan atau rasa, macam tu la kita bayangkan perasaan orang lain,’’ katanya.

Dalam pada itu, Damian Mikhail mempunyai pandangan tersendiri berkenaan topik ini.

“Dalam Islam, kita kena berbalik kenapa kita berbuat sesuatu. Kembali kepada kenapa kita menyambut ramadhan, kenapa kita berpuasa. Sebabnya kita nak mengawal diri kita daripada nafsu-nafsu.

“Ada non-muslim, yang sangat-sangat menghormati orang-orang Islam,” katanya.

Menurut Damian, pada masa yang sama orang Islam juga harus mengawal diri apabila melihat orang bukan Islam makan di tempat umum di bulan Ramadan.

“Kita sebagai orang Islam, kena tahu tahap keimanan, it’s all about self-control, apabila kita kena kena kawal diri kita,

“It’s part of Ramadan and part of puasa walaupun ada makanan yang dihidangkan depan kita. It’s up to us untuk kawal diri kita.

“Kita kena ambil semua benda secara positif, jika boleh memberikan manfaat yang lebih lagi, lebih baik,’’ katanya lagi.

Menyentuh mengenai perkongsian gambar-gambar dan video-video makanan di media sosial, Damian berkata orang ramai perlu memahami realiti semasa.

“Kita kena faham zaman kita ada sosial media, zaman dulu tidak ada. Banyak benda kita terpaksa gunakan sebagai medium untuk menyampaikan, tidak kiralah dakwah ke, sama ada untuk menyampaikan yang bagus atau tidak, ia terpulang kepada individu.

“Sebagai orang yang beriman, kita lebih mengetahui gunakan untuk dasar apa,’’ tambahnya.

Perbincangan penuh berkenaan topik ini dan ulasan panjang lebar daripada semua ahli panel boleh dirujuk melalui video dibawah.

Topik hangat ini juga turut dijelaskan oleh Ustaz Fahmi Rusli menerusi video yang dikongsikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kesimpulannya, ada yang berkata perbuatan tersebut perlu dihakimi berdasarkan niat, sama ada disengajakan untuk mendapat perhatian ataupun sebagai wadah pengiklanan produk jualan.

Bagaimanapun, sebagai warga maya khususnya yang sedang berpuasa, wajar untuk kita bertimbang rasa dan berfikir semasak-masaknya sebelum membuat sesuatu perkongsian.

Boleh jadi, tanpa kita sedar perkongsian berkenaan mendatangkan rasa kurang senang atau menyinggung perasaan mana-mana individu.

Semoga kita semua dapat menjadikan Ramadan yang berbaki beberapa hari lagi ini lebih bermakna dan bermanfaat untuk semua.

*Artikel ini dibawakan oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF)

The post “Nak Tunjuk Makanan Dia Paling Sedap,” Mungkin Ramai Belum Tahu Hukum Tayang Juadah Sebelum Berbuka appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*